TEKUN tawar moratorium kepada usahawan terkesan dengan banjir

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN Nasional) menawarkan moratorium sehingga enam bulan kepada usahawan yang sukar untuk membayar balik pembiayaan akibat terkesan dengan banjir.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia adalah inisiatif prihatin banjir kepada usahawan sekali gus meringankan beban yang dihadapi oleh usahawan sama ada menjejaskan premis perniagaan, kerosakan stok barangan ataupun kediaman mereka.

“Usahawan TEKUN yang terjejas dengan banjir dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan dalam akaun pembiayaan mereka dan boleh membuat penjadualan semula pembiayaan.

“Bagi usahawan TEKUN yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan, mereka boleh memohon pembiayaan bertindih untuk memulakan semula perniagaan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Junaidi berkata, mereka juga boleh mengemukakan permohonan di semua pejabat TEKUN cawangan dengan menyertakan dua keping gambar premis perniagaan atau rumah yang terbabit bencana serta mendapatkan pengesahan pegawai TEKUN di cawangan berdekatan berkaitan bencana banjir.

“Permohonan boleh dikemukakan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh berlakunya banjir.

“TEKUN Nasional akan terus komited dalam membantu usahawan mikro dalam menyediakan pembiayaan serta pembangunan usahawan,” kata kenyataan itu.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373