Terengganu bersiap siaga gerakkan aset ke lokasi risiko banjir

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bersiapsiaga untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang sering melanda negeri ini pada setiap tahun.

Antara persiapan dilakukan adalah bersedia menggerakkan aset termasuk bot ke lokasi risiko banjir di seluruh negeri bagi melakukan kerja menyelamat mangsa banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana sudah ditubuhkan dan bilik gerakan banjir di peringkat negeri dan daerah akan dibuka apabila berlaku banjir.

Katanya, kerajaan termasuk agensi kerajaan negeri dan persekutuan seperti amalan setiap tahun akan menggerakkan semua aset termasuk bot ke kawasan berisiko banjir bagi membantu memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Kita juga akan bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan semua aset bersedia untuk digerakkan bagi membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS yang sudah dikenal pasti.

“Persiapan sehingga ke peringkat akar umbi sedang dilakukan, termasuk penghantaran barangan keperluan asas ke 162 pangkalan hadapan,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Ahmad Samsuri mengiringi keberangkatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke majlis penyampaian hadiah Sultan Mizan Underwater Photograhpy Award 2023, di Dewan Santapan Diraja, Istana Syarqiyyah.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh MTL atau musim tengkujuh di negara ini bermula Sabtu ini dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan dilaporkan, berkata episod hujan lebat dijangka berlaku di Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Barat Sarawak.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Samsuri berkata, masyarakat terutama yang kediaman di tebing sungai dan kawasan kerap berlaku banjir masing-masing sudah memahami risiko bakal dihadapi.

Katanya, masyarakat yang kawasan sering dinaiki air perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memastikan anak dalam pengetahuan, selain sentiasa memberi ingatan kepada ahli keluarga supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373