Tetak penjual daging hingga mati, penternak lembu dipenjara 32 tahun

Estimate Reading Time: 2 minutes

MUAR: Seorang penternak lembu dihukum penjara 32 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah membunuh penjual daging dengan menetak leher mangsa menggunakan parang di sebuah premis di Labis, Segamat, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Halijah Abbas menjatuhkan hukuman itu selepas mahkamah mendapati tertuduh, Shahril Tamsir, 50, disabitkan kesalahan kerana membunuh Ahmad Radzi Jamaludin, yang berusia 40 tahun ketika kejadian berlaku.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menetak menggunakan parang kerana mengesyaki Ahmad Radzi mencuri lembu peliharaannya.

Pada hari kejadian, tertuduh yang menunggang motosikal berhenti berdekatan gerai menjual daging milik mangsa di Jalan Ubi, FELDA Chemplak, Labis, sebelum mengambil parang dan menetak lehernya dalam kejadian jam 7.30 pagi.

Tetakan itu terkena satu daripada tangan mangsa hingga terkulai, manakala lehernya pula parah.

Orang awam yang melihat kejadian itu membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Labis untuk mendapatkan rawatan, tetapi dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh dikenakan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Namun, pada 15 Disember 2020, Mahkamah Tinggi sama menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas tertuduh yang membuat pengakuan bersalah melalui pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat.

Bagaimanapun, pada 16 Februari lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan membabitkan Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Lim Chong Fong, membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Muar sebelum ini yang meminda pertuduhan membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat mengikut Sesyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Menerusi keputusan sebulat suara itu, Hanipah yang mengetuai rayuan berkata, terdapat merit dalam rayuan pihak pendakwaan dan hakim Mahkamah Tinggi ketika itu terkhilaf daripada fakta serta undang-undang, kerana tidak memanggil responden (Shahril) untuk pembelaan.

Pada prosiding hari ini, mahkamah menggunakan budi bicara memutuskan tertuduh yang berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, perlu menjalani hukuman penjara dengan mengambil kira Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) yang berkuat kuasa 4 Julai lalu.

Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, perlu juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

Tertuduh bagaimanapun terlepas hukuman sebatan kerana usianya sudah 50 tahun.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syamilah Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam Lydiana Mansor.

Mahkamah juga mengarahkan hukuman penjara dikenakan terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap pada 31 Ogos 2017.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373