Tiga perkara utama dituntut KPM dalam Bajet 2023

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memohon tiga perkara utama disenaraikan Kementerian Kewangan dalam pembentangan Bajet 2023 yang akan diumumkan pada 7 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata tiga perkara utama itu berkaitan pertambahan kadar Rancangan Malaysia Tambahan (RMT), peranti untuk guru serta pendidikan khas kepada murid.

“Sebenarnya banyak yang kita minta kepada Kementerian Kewangan, namun untuk hari ini kita hanya maklumkan mengenai tiga perkara ini. Pertama adalah RMT, kita mohon supaya kadar itu dilihat semula dan ditambah baik dengan harga yang sepatutnya. Sebelum ini kadar yang ditetapkan adalah sebanyak RM2.50 bagi setiap murid.

“Malah, perkara ini juga adalah antara rungutan yang diterima daripada pengusaha kantin, bila berlaku peningkatan kos namun dalam masa sama peruntukan yang diterima itu kecil dan ia memberi impak terutamanya untuk sekolah yang tidak mempunyai murid yang ramai,” katanya dalam sidang media selepas program Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan, hari ini.

Pada pembentangan bajet sebelum ini, KPM menerima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan.

Radzi berkata, beliau juga memohon peruntukan bagi peranti untuk guru kerana sebelum ini penjawat awam lain secara umumnya disediakan stesen kerja atau komputer riba kepada mereka jika bekerja di pejabat.

“Untuk guru ini mereka ada stesen kerja, namun dalam konteks ini mereka tidak disediakan peranti atau komputer untuk melaksanakan kerja. Jadi kita mohon untuk bajet kali ini dipertimbangkan supaya memberikan peranti kepada guru memandangkan kini negara sedang bergerak ke arah digitalisasi,” katanya.

Perkara terakhir yang Radzi ingin pertimbangkan ialah mengenai pendidikan khas murid kerana masih terdapat jurang dengan negara lain.

“Sejak saya masuk ke kementerian ini dua tahun lalu, saya sedar bahawa pendidikan khas ini ada jurang dengan negara lebih terkehadapan. Jadi kita mohon supaya peruntukkan lebih bagi melonjakkan pendidikan khas ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Ini kerana kita mahu, anak-anak dalam golongan itu apabila sudah besar nanti dapat berdikari dan ibu bapa pasti gembira dapat melihat anak mereka boleh hidup sendiri.

“Kita mahu pastikan pendidikan khas ini mendapat ruang secukupnya, jika dahulu ada sekolah keperluan khas ini tidak banyak infrastruktur dan hanya mempunyai minimum empat infrastruktur, jadi kita mahu perkara ini diberi penekanan khusus,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373