Tiga polis direman disyaki terima rasuah RM3,000

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGETOWN: Tiga anggota polis direman tiga hari bagi membantu siasatan meminta rasuah RM3,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas seorang lelaki pada 20 Julai lalu.

Suspek yang berusia 20, 36 dan 38 tahun itu bertugas di sebuah balai di Bukit Mertajam dengan dua daripadanya berpangkat koperal, manakala seorang lagi konstabel.

Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kesemua suspek bermula hari ini.

Menurut sumber, suspek membuat pemeriksaan ke atas seorang individu di Jalan Berapit, Mengkuang, Bukit Mertajam kira-kira jam 7.15 malam pada 20 Julai lalu.

Katanya, suspek yang menaiki kereta peronda Honda Civic itu mendapati cukai jalan motosikal yang ditunggangi individu berkenaan sudah tamat tempoh selain lelaki berkenaan memiliki sebungkus air ketum serta beberapa kotak rokok tidak bercukai.

“Tiga suspek berkenaan menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada individu itu sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan yang dilakukannya.

“Susulan itu, SPRM menahan ketiga-tiga anggota polis berkenaan pada jam 7.25 malam kelmarin ketika mereka hadir ke pejabat SPRM Pulau Pinang,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373