TikTok dijangka jadi pilihan kempen PRU-15

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 20 Okt 2022 (The Capital Post): Aplikasi TikTok dijangka menjadi pelantar pilihan bagi kempen Pilihan Raya Umum (PRU-15) bersama dengan penggunaan aplikasi WhatsApp yang digunakan secara meluas ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Sara Chinnasamy, berkata kedua-dua aplikasi itu dilihat mempunyai capaian meluas yang tidak terbatas umur.

Katanya, aplikasi seperti Twitter biasanya menjadi pilihan mereka yang berusia bawah 30 tahun, manakala Facebook, antara 30 hingga 60 tahun.

“Kempen pilihan raya menerusi internet sudah pun diadakan di negara kita pada 2008 melalui blog dan agensi berita persendirian, malah pada 2013, ia digelar sebagai pilihan raya media sosial kerana semua pelantar media sosial digunakan untuk penyaluran maklumat.

“Pada 2018, ia menyaksikan ‘Pilihan Raya Facebook’ dan tahun ini, TikTok bakal meraih populariti tanpa batasan umur dan medium yang boleh uar-uarkannya adalah WhatsApp.

“PRU-15 dijangka menjadi pilihan raya ‘TikTok’, apabila media sosial berkonsepkan video pendek dengan penerangan ringkas digunakan secara meluas oleh semua parti politik negara ini,” katanya mengulas kecenderungan pengguna media sosial bagi kempen PRU-15.

Sara berkata, parti politik dan ahli politik harus bergerak seiring dengan budaya sedemikian kerana jika tidak mereka ketinggalan dalam soal menyebarkan dasar, bahan kempen serta intipati manifesto masing-masing.

Katanya, jika ahli politik tidak mempunyai akaun aplikasi itu, mereka akan ketinggalan dalam mencapai sasaran pengundi berusia 18 tahun, pengundi muda dan pengundi atas pagar yang tinggal di kawasan bandar.

Beliau berkata, pengguna aplikasi media sosial itu kini adalah cara terbaik bagi calon PRU untuk menyasarkan kumpulan masing-masing.

Semarak aliran viral

Katanya, gelombang TikTok tidak boleh dielakkan berikutan pelantar itu kini meraih populariti tertinggi pada pilihan raya umum (PRU) di Jerman, Colombia, Filipina dan Amerika Syarikat.

“Menjelang pilihan raya pertengahan musim gugur ini, TikTok sedang membentuk inkubator utama bagi maklumat tidak berasas dan mengelirukan, dalam banyak cara yang bermasalah seperti Facebook dan Twitter yang menjejaki kepalsuan dalam talian.

“Kualiti sama yang membolehkan TikTok menyemarakkan aliran viral, jangkauan platform yang besar, panjang pendek videonya, algoritma pengesyoran yang berkuasa tetapi kurang difahami, juga boleh membuat dakwaan yang tidak tepat sukar dibendung,” katanya.

Sara juga menekankan bahawa pilihan raya kali ini mungkin berbeza berbanding PRU yang lain yang mana tugas menyalurkan maklumat tidak boleh dilihat sebagai hanya memuatkan propaganda berunsurkan fitnah, palsu atau mewujudkan kebencian kepada mana-mana pihak.

Malah, katanya, pada hari ini rakyat mempunyai terlalu banyak sumber untuk membuat rujukan mahupun mengambil keputusan untuk mengundi mana-mana pihak.

Sara menekankan propaganda yang sihat dan berhemah berdasarkan fakta dan angka sangat penting dalam menjana persepsi yang baik dalam kalangan pengundi.

“Ini boleh menaikkan tahap kebolehpercayaan pengundi terhadap mana-mana ahli politik dan parti politik. Kemunculan cybertroopers juga tidak ketinggalan dalam isu ini,” katanya.

-BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373