Tingkatkan mutu sistem pelaporan Covid-19, gesa pakar kesihatan

Estimate Reading Time: 3 minutes

PETALING JAYA: Para pakar kesihatan menggesa kerajaan memperbaiki sistem pelaporan kes baharu Covid-19 selepas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata lonjakan kes minggu lalu berpunca daripada tunggakan laporan kes.

Jumlah kes harian melepasi angka 5,000 selama tiga hari berturut-turut minggu lalu, dengan Noor Hisham menyatakan jumlah keseluruhan 16,751 dari 28 hingga 30 Jan adalah termasuk kes positif yang dikesan tahun lalu.

Dr Khor Swee Kheng.

Walaupun katanya kesilapan sistem dan manusia “tidak dapat dielakkan” sewaktu pandemik beberapa tahun, Dr Khor Swee Kheng, pakar sistem dan polisi kesihatan, merasakan fokus kini perlu diberikan kepada pembinaan sebuah sistem yang boleh mengesan kesilapan dengan cepat dan untuk melaksanakan pelan Tindakan Pembetulan dan Pencegahan (CAPA).

“Pelan CAPA diperlukan untuk memastikan sistem itu membetulkan dan memperbaiki diri sendiri, dan pelan itu diguna pakai dalam banyak industri seperti minyak dan gas, penerbangan dan IT,” katanya kepada FMT.

“Kehadiran sistem CAPA juga akan mengukuhkan kepercayaan rakyat.”

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Subramaniam Muniandy, menyeru agar tenaga kerja dipertingkatkan untuk memastikan lebih banyak kes sedemikian tidak terlepas pandang.

Dr Subramaniam Muniandy.

“Sejak sekian lama, kami selalu mengatakan yang kita perlukan lebih banyak tenaga kerja untuk melalui (situasi ini). Sekarang semua orang sudah sedar,” katanya kepada FMT.

Walaupun katanya negara menangani pandemik dengan baik pada mulanya, lonjakan kes-kes selepas pilihan raya Sabah dan kelewatan saringan terhadap pekerja asing menyebabkan virus itu segera merebak ke komuniti.

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 4,214 kes Covid-19 dan 10 kematian dalam tempoh 24 jam lalu, dengan jumlah jangkitan kini mencecah 219,173 manakala jumlah kematian sebanyak 770.

‘Di luar imaginasi’

Sementara itu, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye, berkata tunggakan kes-kes itu mungkin berpunca daripada isu ICT dan kakitangan di pejabat kesihatan daerah bekerja lebih masa.

Menyatakan bahawa “tidak dapat dibayangkan” yang tunggakan sebegitu wujud, Lee menambah, mengikut undang-undang, doktor yang menjalankan ujian Covid-19 perlu melaporkan kes positif kepada pejabat kesihatan daerah mereka.

Pejabat itu kemudian akan membawa data tersebut ke Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) KKM.

Dr Lee Boon Chye,

Data yang diterima CPRC hingga tengah hari kemudian digunakan untuk menyusun statistik bagi taklimat media oleh Noor Hisham atau kenyataan media mengenai kemas kini Covid-19.

“Entah bagaimana dan datang dari mana, sesuatu menjadi tidak kena,” kata Lee.

“Kita bercakap mengenai dunia IT di sini, dan semuanya berkait. Bagi saya, ini berlaku di luar imaginasi dan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

“KKM perlu mengintegrasikan pangkalan datanya dengan makmal tempatan kerana di situlah ujian pengesahan dilakukan.

“Jika mereka positif, mereka akan terus dibawa ke CPRC, yang mengesahkan keputusan ujian dan mengemas kini data baru setiap hari menjelang tengah hari,” kata Lee.

Noor Hisham dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebelum ini berkata, kelewatan dalam melaporkan kes adalah disebabkan klinik swasta dan hospital tidak segera melaporkan kes positif, dakwaan yang ditolak Lee.

Menekankan doktor harus melaporkan kes positif Covid-19 dalam masa 24 jam selepas menerima keputusan ujian, beliau berkata Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) jelas mewajibkan pelaporan penyakit berjangkit.

Tiada sembunyikan apa-apa

Oktober lalu, Hisham juga mengaitkan lonjakan kes Covid-19 yang dilaporkan di Sabah dengan tunggakan pengujian, selepas jangkitan baru di negeri itu mencapai tiga angka selama lebih daripada 10 hari berturut-turut.

Menyentuh laporan bahawa pesakit di Sabah perlu menunggu beberapa hari sebelum dimasukkan ke hospital atau pusat rawatan berisiko rendah, Noor Hisham memberitahu sidang media pada 18 Okt, keputusan “diperoleh sedikit lambat” selepas proses pemprosesan sampel disalurkan kepada pihak Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Apabila diminta untuk mengulas dakwaan di media sosial yang mengatakan KKM tidak jujur dengan angka Covid-19 harian, Lee dan Subramaniam menolak dakwaan tersebut.

“Ini bukan rahsia. Ini hanya maklumat yang tertangguh,” kata Lee.

“Data tidak dapat diperbaharui. Pengesanan kontak, pengasingan dan kuarantin tidak dapat dilakukan tepat pada masanya, jadi apabila kita gagal dalam hal ini, kita tidak boleh kawal (pandemik).”

Subramaniam juga berkata, beliau tidak merasakan kementerian “berbohong atau berselindung”, sebaliknya menyatakan tunggakan itu mungkin disebabkan sistem yang tidak cekap.

“Kerajaan tersilap mengendalikannya,” kata beliau, “dan sekarang mereka perlu sedar.”

-FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373