TNB, Siemens Energy bergabung hasilkan hidrogen hijau

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjalin kerjasama dengan Siemens Energy untuk menyegerakan dekarbonisasi menerusi nyah karbon loji kuasa termal miliknya dengan menggunakan hidrogen hijau yang dihasilkan daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB).

Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama Siemens Energy itu memberikan peluang kepada TNB mendalami ilmu dan kepakaran terkini serta sumber tenaga berasaskan hidrogen, dengan tumpuan kepada pengeluaran hidrogen hijau menggunakan elektroliser dan sumber penjanaan daripada TBB seperti pam hidro dan solar.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Baharin Din, berkata kerjasama dengan Siemens Energy adalah selari dengan aspirasi Peralihan Tenaga TNB, yang mengemudi kumpulan itu menuju sasaran sifar bersih menjelang 2050.

“Kerjasama ini membuktikan dedikasi penuh TNB menyokong kelestarian alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertukaran dokumen MoU disempurnakan pada Persidangan Peralihan Tenaga TNB 2023 pada Ogos lalu.

Ia disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid.

Hadir sama, Pengarah Urusan TNB Genco, Ir Muhamad Nazri Pazil dan Naib Presiden Kanan serta Pengarah Urusan Siemens Energy bagi Asia Pasifik, Thorbjorn Fors.

Mengulas lanjut, Baharin berkata, MoU itu membina rangkaian meneroka penyelesaian inovatif dan teknologi terkini dengan sasaran kos efektif dalam pengeluaran hidrogen hijau Malaysia di samping menangani cabaran yang berkaitan.

“Dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), pembakaran hidrogen dan amonia diiktiraf sebagai salah satu projek utama yang mana TNB dipilih sebagai peneraju untuk memimpin pelaksanaannya dengan kerjasama PETRONAS, sebagai sebahagian daripada inisiatif dekarbonisasi negara.

“Ia menekankan keperluan untuk menganalisis aspek tekno-ekonomi pembakaran hidrogen dan dalam masa yang sama mengekalkan keterjaminan dan kemampuan milik tenaga yang dihasilkan daripada loji pembakaran bersama hidrogen.

“Kerjasama dengan Siemens Energy akan mempekasa TNB dalam mendalami dan meningkatkan keupayaannya mengkhusus, membeli, membina, mengendalikan, menyelenggara, mengawasi kontrak dan aspek kewangan pengeluaran hidrogen serta aplikasi untuk pembakaran bersama di loji kuasa termal,” katanya.

MoU itu juga, katanya memudahkan pertukaran pengetahuan dan pemindahan teknologi, membolehkan TNB memperkukuh keupayaan dalaman serta mempertahankan kedudukan selaku peneraju dalam bidang pengeluaran berkaitan hidrogen dan penggunaan pelbagai teknologi.

“Kerjasama dengan Siemens Energy juga akan menggalakkan kerjasama antarabangsa dan mengukuhkan kedudukan TNB sebagai pemain utama dalam peralihan tenaga global ke arah amalan kelestarian dan karbon neutral dalam sektor tenaga,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373