Top Glove sasar jadi syarikat Fortune 500 menjelang 2030

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd dan Alumni Association of National Taiwan University Malaysia (AANTUM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menarik lebih ramai bakat terkemuka ke arah matlamat untuk menjadi syarikat Fortune Global 500 menjelang tahun 2030.

Dalam satu kenyataan, pengeluar sarung tangan itu berkata jalinan kerjasama selama tiga tahun itu akan membolehkan syarikat memanfaatkan pelajar-pelajar Malaysia di National Taiwan University (NTU) AANTUM yang mempunyai kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan inovatif khususnya berkaitan industri pembuatan penjagaan kesihatan.

AANTUM mempunyai lebih 2,000 ahli alumni yang aktif di seluruh negara dan 600 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti itu.

Pengarah Urusan, Datuk Lee Kim Meow, berkata syarikat menyedari pihaknya mesti terus berkembang dan peka dengan perkembangan terkini, dan mendahului trend global dalam sektor pembuatan penjagaan kesihatan.

“Perlu diingat teknologi disruptif seperti kemajuan robotik, Internet of Things dan automasi dijangka akan membentuk semula landskap perniagaan secara mendadak daripada apa yang ada pada hari ini dan kami yakin kerjasama dengan AANTUM akan membolehkan kami berkembang maju pada masa depan yang kompleks dan sentiasa berubah,” katanya.

Sementara itu, Top Glove juga berhasrat bekerjasama dengan universiti terkemuka dunia yang lain, terutamanya di rantau Asia untuk menyokong rancangan pengembangannya, yang bertujuan meningkatkan kapasitinya dengan tambahan 100 bilion keping sarung tangan dari tahun kewangan 2021 hingga 2025.-BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373