Tun Dr Ismail tokoh penting buka ruang hubungan diplomatik Malaysia-China

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Negarawan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman antara tokoh penting dalam lembaran sejarah negara yang membuka ruang kepada jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada tahun 1970-an, meskipun negara berdepan ancaman komunis ketika itu.

Perkara ini diceritakan semula Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang diminta oleh Dr Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu untuk mewakili misi dagangan Malaysia ke Negara Tembok Besar pada Mei 1971 dan bertemu Perdana Menteri China Zhou Enlai bagi membincangkan cadangan menjalinkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Pada masa itu (negara) kita masih berperang dengan komunis, kita tidak ada hubungan langsung dengan negara China dan saya dibawa ke Great Hall of the People (di Beijing,China) untuk menemui Perdana Menteri Zhou Enlai.

“Di situlah baru dikemukakan kepada kita (Malaysia) menerusi pertemuan itu cadangan supaya kita adakan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China.

“Benda (cadangan) itu adalah satu perkara baharu yang tidak pernah disuarakan dalam ASEAN atau mesyuarat ASEAN kerana ini bertentangan dengan keadaan yang dihadapi kita di kawasan ini,” katanya yang juga Presiden Persatuan Dewan Perniagaan Melayu dan Pengerusi Perbadanan Nasional (Pernas) waktu itu.

Tengku Razaleigh, bekas wakil rakyat paling lama berkhidmat di Parlimen selama 48 tahun iaitu sejak 1974 hingga 2022, turut mengimbau kembali pesanan Allahyarham yang meminta beliau untuk berbincang sekali gus menilai kesungguhan perwakilan China dalam usaha membentuk lembaran baharu antara dua negara.

Beliau berkata hasil pertemuan itu, Perdana Menteri Malaysia Kedua Tun Abdul Razak Hussein mengadakan lawatan rasmi sulung ke Negara Tembok Besar pada 1974 seterusnya melakar sejarah dalam pemeteraian jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

“Itulah satu sumbangan besar yang dibuat Tun Dr Ismail, walaupun beliau bukanlah Menteri Luar (pada masa itu), impak itu besar bukan sahaja dari hubungan dua negara dan dua kumpulan rakyat tetapi juga dari segi hubungan dagang.

“Kalau dulu hubungan dagang kita dengan China adalah menerusi Singapura dan Hong Kong, maka tidak banyak barang yang dapat dieksport tetapi sejak adanya hubungan diplomatik (dengan China), jumlah eksport dan import dari China ke Malaysia telah meningkat,” katanya.

Menelusuri kisah di sebalik jalinan hubungan dua negara ini, Tengku Razaleigh berkata Perdana Menteri Pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah berkata Malaysia tidak boleh mengetepikan kepentingan hubungan dengan negara tersebut.

Katanya, China adalah sebuah negara besar dan mempunyai penduduk yang ramai selain Malaysia dan negara serantau juga mempunyai sebilangan besar rakyat berketurunan Cina oleh itu, kepentingan hubungan ini perlu diambil kira dalam pembangunan tanah air.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj–Tonggak Perpaduan Negara, sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos ini, bertujuan mendidik generasi muda mengenai sumbangan tokoh itu dalam membangunkan negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan majlis berkenaan yang dijangka dihadiri oleh 15,000 jemputan itu.

– BERNAMA

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373