Tuntutan Dong Zong jika dipenuhi berisiko, petanda buruk masa depan pendidikan negara

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 30 Nov 2022 (The Capital Post): Gesaan berterusan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) diiktiraf kerajaan, adalah berisiko dan menjadi petanda buruk kepada masa depan pendidikan negara.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, berkata tuntutan itu perlu diteliti secara mendalam oleh kerajaan, kerana UEC dilihat boleh menyebabkan pertembungan terhadap sistem peperiksaan sedia ada yang diamalkan dalam pendidikan negara.

Mengulas lanjut, katanya, Dong Zong tidak wajar menghidupkan semula gesaan itu pada ketika pembentukan Kabinet belum dimuktamadkan lagi.

“Saya dapati tuntutan itu berbentuk menggertak sedang kerajaan baharu sahaja dibentuk. Ia mencerminkan pendirian ‘opportunist’ mereka, isu pengiktirafan ini menyentuh berhubung kestabilan pendidikan negara dan perlu diteliti lebih mendalam.

“Namun saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah biasa dengan ‘gelagat’ ini. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan kelak perlu mengambil kira untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi menjawab segala tuntutan ini.

“Ini kerana kerajaan tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu bersedia mempertahankan hak pendidikan nasional yang mengandungi sifat asas dan tidak boleh diketepikan dengan adanya pensijilan baharu,” katanya kepada BH, di sini.

Semalam, Dong Zong memohon pengiktirafan UEC dibincang secara rasional, ketika sekali lagi membangkitkan gesaan yang pernah dibuatnya ketika pentadbiran kerajaan PH sebelum ini supaya UEC diiktiraf.

Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan apabila beberapa pihak dilaporkan melalui portal berita meminta supaya Dong Zong tidak rakus dalam membuat tuntutan itu.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menubuhkan satu pasukan petugas untuk mengkaji dasar UEC pada Oktober 2018 dan berjanji untuk mengiktiraf sijil pendidikan berkenaan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada masa sama, Rais berkata, pihaknya mahu isu berhubung pengiktirafan ini menemui titik noktah kerana ia tidak boleh menyebabkan berlakunya situasi duri dalam daging apabila gesaan mengenainya sering dibangkitkan.

Beliau berkata, negara tidak memerlukan terlalu banyak peperiksaan kerana yakin ada intipati tertentu dalam UEC itu boleh diserapkan dalam sistem pendidikan nasional.

Katanya, dalam masa sama kerajaan juga perlu meningkatkan standard pendidikan awam di negara ini, bagi memastikan lebih ramai kaum bukan Melayu berminat memasuki sekolah kebangsaan.

“Kenapa perlu dibuat dua peperiksaan di negara ini, sedangkan saya yakin ada perkara dalam UEC yang boleh diserapkan sahaja dalam sistem pendidikan.

“Saya suka menggesa supaya pendidikan di sekolah kebangsaan perlu dibuat pembetulan di semua peringkat supaya pelajar Cina, misalnya berminat untuk belajar di sekolah kebangsaan.

“Kita tidak mahu menerima pensijilan, mereka namun saya tidak nampak adanya peningkatan standard bagi capaian pendidikan di sekolah kebangsaan, sebaliknya ramai pula pelajar Melayu yang beralih ke sekolah jenis kebangsaan.

“Saya rasa ini satu dilema yang perlu diatasi oleh menteri pendidikan baharu nanti apabila selesainya pembentukan Kabinet kelak,” katanya.

-BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment