U Mobile tukar pinjaman RM1.4 bilion jadi pembiayaan mampan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: U Mobile menukar pinjaman perbankan sedia ada sehingga RM1.4 bilion kepada pembiayaan berkaitan kemampanan (SLF) melalui kerjasamanya dengan CIMB Bank Bhd dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia).

Dalam satu kenyataan, syarikat telekomunikasi itu berkata penukaran pinjaman itu dibantu oleh CIMB sebagai ejen penstrukturan kemampanan serta pemberi pinjaman bersama dan pengatur utama kemampanan dengan UOB Malaysia.

Ia berkata, langkah itu sejajar dengan strategi kemampanan U Mobile dan ia layak menerima rebat pada kadar faedah pinjamannya berdasarkan pencapaian sasaran prestasi kemampanan (SPT) yang bercita-cita tinggi, tertakluk kepada pengesahan ketat pihak ketiga yang bebas.

Di bawah SPT, U Mobile komited untuk mengurangkan pelepasan karbon Skop 1 dan 2 melalui pelaksanaan projek cekap tenaga dan tenaga solar untuk perniagaan dan operasinya, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Borong CIMB Group, Novan Amirudin, berkata SLF adalah bukti komitmen CIMB ke arah membantu pelanggannya memajukan matlamat kemampanan mereka.

“Ini selaras dengan cita-cita CIMB Group untuk menjadi bank ASEAN utama yang berfokus dan peneraju kemampanan ASEAN di bawah pelan strategik Forward23+ kami,” kata Novan.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Perbankan Borong UOB Malaysia, Andy Cheah, berkata sebagai sebahagian daripada komitmen sifar bersih bank itu, UOB Malaysia memberi tumpuan untuk menyokong peralihan pelanggannya dengan menyediakan penyelesaian hijau yang tepat kepada mereka semasa mereka memajukan perjalanan ESG mereka.

“Dengan menukar kemudahan pembiayaan perbankan sedia ada kepada SLF, U Mobile dapat memenuhi keperluan kewangannya sambil mencapai cita-cita kemampanannya.

“Kami berbangga menyokong komitmen U Mobile untuk menyampaikan pertumbuhan yang bertanggungjawab, yang seimbang dengan kewajipan alam sekitarnya,” kata Cheah.
-BERNAMA
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373