UMNO desak Parlimen bersidang dalam tempoh 14 hari

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: UMNO mendesak kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, bermula hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia susulan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu supaya sidang berkenaan diadakan secepat mungkin.

“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021, dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.

Ia selepas baginda memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.

Raja-Raja Melayu turut menyokong dan senada dengan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, selain berpendirian Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang secepat mungkin.

Ahmad Zahid berkata, seperti yang dipersembahkan parti itu kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian sidang Parlimen perlu diadakan segera.

Beliau berkata, ia bagi membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan ketika berdepan pandemik COVID-19, selain memastikan wujud kebertanggungjawaban dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Justeru, tidak perlulah berdolak-dalik lagi mengenai istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan dalam kedua-dua kenyataan media mengenai sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Pemerintah,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373