UMNO pinda Perlembagaan permudah daftar keahlian

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: UMNO akan melakukan pindaan terhadap Perlembagaan parti itu melalui mesyuarat khas parti Jumaat ini yang antara lain bertujuan memudahkan urusan pendaftaran keahlian dalam talian.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata melalui pindaan itu satu peraturan akan diwujudkan dalam Perlembagaan yang mana ia membolehkan ahli MKT mempunyai kuasa yang lebih ke atas permohonan keahlian.

“Apa yang akan dibentangkan dalam dalam mesyuarat agung luar biasa itu adalah meminda fasal berkenaan untuk dijadikan sebagai peraturan dan apabila menjadi peraturan, ertinya Majlis Tertinggi mempunyai kuasa untuk meminda peraturan peraturan dari segi permohonan keahlian…kita mahu ia dipermudahkan.

“Apabila dipermudahkan , kita akan tambah baik kaedah permohonan dan kaedah kelulusannya,” katanya dalam sidang media selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023, di sini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman dan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ketika ini, Fasal 5 Perlembagaan UMNO menjelaskan permohonan mendaftar sebagai ahli biasa UMNO hendaklah dikemukakan kepada ketua cawangan atau ketua bagi ketiga-tiga sayap di peringkat cawangan masing-masing; selain pendaftaran terus di Pejabat UMNO Bahagian atau secara dalam talian.

Fasal 5.9 Perlembagaan UMNO menyatakan MKT berhak membuat apa-apa keputusan atas mana-mana permohonan pendaftaran keahlian atau taraf sesuatu pendaftaran itu (termasuk menarik balik pendaftaran) dan keputusan itu adalah muktamad.

Melalui Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada Mac lalu, dua fasal dipinda membabitkan penyertaan automatik Ketua Penerangan Bahagian termasuk tiga sayap parti sebagai perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO dan pindaan berkaitan Akta Lompat Parti.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373