UMW jual hampir 200,000 kereta separuh pertama 2023

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Kumpulan UMW mengekalkan momentum jualan automotif berterusan apabila menjual 193,349 unit kenderaan bagi tempoh enam bulan pertama 2023 berbanding 173,254 unit yang didaftarkan tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, konglomerat itu berkata jualan yang disumbangkan menerusi UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutunya, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) itu adalah 12 peratus lebih tinggi bagi tempoh dikaji daripada separuh pertama 2022.

Setakat Jun 2023, UMWT mencatat jualan sebanyak 48,659 unit, peningkatan sebanyak enam peratus berbanding 45,911 unit jualan pada tempoh yang sama 2022.

Toyota Vios serba baharu, yang dilancarkan pada bulan Mac tahun ini, diikuti oleh Corolla Cross dan Hilux menjadi model terlaris pada separuh pertama 2023.

UMWT memperkenalkan Toyota Innova Zenix serba baharu pada 21 Jun lalu, dan mendapat tempahan yang menggalakkan.

Sementara itu, jualan PERODUA pula melonjak kepada 144,690 unit, 14 peratus lebih tinggi daripada 127,342 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Untuk separuh pertama 2023, model terlaris Perodua ialah Bezza, diikuti oleh Myvi dan Axia.

Axia serba baharu dilancarkan pada 14 Februari lalu, dengan rantaian bekalan yang bertambah baik dan permintaan yang mampan, PERODUA menjangkakan pengeluaran dan jualan akan meningkat pada separuh kedua 2023.

“Bagi tempoh Jun sahaja, UMW mencatat jualan automotif sebanyak 31,222 unit. UMWT mencatatkan jualan sebanyak 8,669 unit pada bulan dikaji, lapan peratus lebih tinggi daripada 8,004 unit yang direkodkan pada Mei.

“PERODUA pula mencatatkan jualan sebanyak 22,553 unit pada Jun 2023, iaitu 9.0 peratus lebih rendah berbanding 24,699 unit yang direkodkan pada Mei 2023 disebabkan oleh penutupan kilang pembuatannya selama seminggu semasa sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata bagi tempoh enam bulan pertama 2023, UMWT dan PERODUA telah mencatatkan jualan yang lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Pengenalan model baharu yang kompetitif dan menarik membantu memacu jualan bagi separuh pertama 2023.

“Kami yakin bahawa kedua-dua syarikat ini akan mencapai sasaran jualan mereka untuk 2023 berdasarkan kepada jumlah pesanan yang tertunggak. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas sokongan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kami,” katanya.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373