Unit KPS dapat kontrak bekal bahan kimia kepada Air Selangor

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS), menerusi anak syarikat 51 peratus miliknya, Aqua-Flo Sdn Bhd hari ini memeterai Perjanjian Rangka Kerja (FA) bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk membekal dan menghantar pelbagai bahan kimia rawatan air kepada Air Selangor dengan anggaran kontrak RM162.18 juta.

KPS dalam satu kenyataan berkata, kontrak berkenaan adalah untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025.

“Air Selangor dan Aqua-Flo mungkin memperbaharui FA berkenaan untuk tempoh selanjutnya yang dipersetujui bersama dengan memberikan notis bertulis kurang sebelum sebelum tempoh tamat kontrak, justeru kedua-dua pihak akan segera berunding secara munasabah serta bersetuju bersama terhadap terma dan syarat pembaharuan terbabit secara bertulis.

“Jika kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan, FA berkenaan akan luput secara automatik pada pengakhiran tempoh kontrak, jika itu berlaku,” katanya menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

KPS berkata, kontrak terbabit dianggap sebagai Transaksi Pihak Berkaitan Berulang (RPPT) dengan pendapatan daripada urus niaga adalah perlu bagi operasi harian serta keperluan biasa perniagaan anak syarikatnya iaitu Aqua-Flo.

Ia berkata, kontrak itu dimeterai dengan tujuan biasa perniagaan dan dibina berdasarkan persetujuan bersama tanpa dipengaruhi antara satu sama lain.

“Kontrak dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan aset bersih kumpulan KPS sepanjang tempoh kontrak,” katanya.

KPS turut menegaskan, tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama syarikat itu, atau individu berkaitan dengan mereka, yang mempunyai sebarang kepentingan, sama ada langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.

Ia berkata, Pengerusi yang juga Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif KPS, Datuk Haris Kasim menduduki Lembaga Pengarah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Air Selangor Holdings Bhd (ASHB) dan Air Selangor.

Sementara itu, katanya Ketua Pegawai Eksekutif MBI yag juga Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif KPS, Norita Mohd Sidek menduduki Lembaga Pengarah Darul Ehsan Investment Group (DEIG) dan ASHB.

DEIG adalah pemegang saham utama KPS, dengan pegangan saham langsung sebanyak 57.88 peratus.

Air Selangor adalah anak syarikat milik penuh ASHB, manakala MBI adalah syarikat pegangan kepada DEIG dan ASHB.

“Kedua-dua pengarah yang dinyatakan sewajarnya dilarang dan akan terus dilarang daripada semua pertimbangan dan pengundian resolusi berkaitan dengan Lembaga Pengarah KPS berhubung dengan RRPT mengikut Seksyen 221 dan 222 Akta Syarikat 2016, Perenggan 10.08(6) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities dan Dasar Konflik Kepentingan Pengarah KPS,” katanya.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373