Wan Saiful tak mengaku salah atas 18 pertuduhan ubah wang haram hampir RM6 juta

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini dengan 18 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM6 juta.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tasek Gelugor berusia 48 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Tidak bersalah dan mohon dibicarakan (bagi pertuduhan berkenaan),” katanya.

Wan Saiful tiba di mahkamah pada jam 8.20 pagi ini, dengan memakai sut hitam dan kemeja putih, selain dilihat tersenyum serta sempat bertanyakan khabar kepada beberapa pengamal media yang merakam video dan gambarnya.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan BERSATU, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan termasuk menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Berdasarkan pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

Beliau juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373