Wang simpanan lebih RM180,000 lesap ditipu ‘scammer’

Estimate Reading Time: < 1 minute

JITRA: Wang simpanan seorang wanita berjumlah RM181,986.26 lesap selepas menjadi mangsa penipuan ‘scammer’ yang mendakwa mangsa terbabit pengubahan wang haram dan sindiket di Sabah.

Kejadian berlaku apabila wanita berusia 60 tahun yang masih bujang itu menerima panggilan daripada seorang individu pada 29 Jun lalu yang mendakwa dari sebuah syarikat insuran.

Individu terbabit memaklumkan mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram dan sindiket sebelum panggilan disambungkan kepada ‘polis’.

Mangsa kemudian dimaklumkan akan dibantu dan perlu berhubung dengan ‘Timbalan Pendakwa Raya’ (TPR).

Wanita yang mengaku TPR kemudian meminta mangsa membuat penukaran kad mesin juruwang automatik (ATM) ke Bank Islam serta mendaftar nombor telefon yang diberinya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur, berkata mangsa kemudian mengikut arahan wanita terbabit dan mendaftar nombor telefon yang diberi oleh suspek pada nombor kad ATM Bank Islam baharunya itu.

“Bagaimanapun, mangsa mengesyaki sesuatu mencurigakan selepas dihubungi suspek yang bertanyakan sama ada mangsa mempunyai akaun bank lain.

“Disebabkan itu, mangsa kemudian membuat semakan penyata di Bank Islam Jitra dan mendapati terdapat pengurangan wang pada akaun simpanannya dan mengesyaki dia ditipu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat lapan transaksi pengeluaran wang melalui akaun Bank Islam miliknya dipindahkan ke tiga akaun bank individu yang tidak dikenali pada 3 dan 4 Julai lalu,” katanya di di sini hari ini.

Chien berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jitra semalam untuk memaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373