Wanita pertama Ukraine rayu bawa pulang kanak-kanak ‘diculik’

Estimate Reading Time: 2 minutes

NEW YORK: Wanita pertama Ukraine, Olena Zelenska semalam menggesa pemimpin dunia membantu mengembalikan kanak-kanak Ukraine yang dibawa secara paksa ke Russia.

Ia berikutan kanak-kanak itu didakwa sedang didoktrin dan dilucutkan identiti kebangsaan mereka.

Zelenska yang bercakap pada program sampingan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata lebih 19,000 kanak-kanak Ukraine dipindahkan secara paksa atau dihantar pulang ke Russia atau wilayah yang diduduki.

Sehingga kini, hanya 386 dibawa pulang kembali.

Menurut Zelenska, di Russia, kanak-kanak itu diberitahu ibu bapa dan negara tidak memerlukan mereka, malah tiada siapa menunggu kepulangan mereka.

Kanak-kanak yang diculik diberitahu, mereka bukan lagi kanak-kanak Ukraine dan mereka kanak-kanak Russia.

Dalam ucapan awal Presiden Volodymyr Zelensky kepada Perhimpunan Agung sebelum ini, beliau menggelar tindakan Russia sebagai genosid.

Katanya, pihaknya cuba membawa anak-anak pulang ke rumah tetapi masa itu sudah berlalu.

“Apa yang akan berlaku kepada mereka?” soalnya.

“Kanak-kanak di Russia itu diajar untuk membenci Ukraine dan semua hubungan dengan keluarga mereka terputus. Ini jelas satu pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

Bagaimanapun Russia menafikan dakwaan itu, sebaliknya berkata pihaknya menyelamatkan kanak-kanak Ukraine daripada kengerian perang.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin atas tuduhan jenayah perang menghantar pulang kanak-kanak Ukraine secara tidak sah.

Satu lagi waran dikeluarkan ke atas Pesuruhjaya Presiden Russia, Maria Lvova-Belova untuk hak kanak-kanak, atas tuduhan sama.

Lebih 500 kanak-kanak terbunuh sejak Russia menyerang negara jirannya lebih setahun setengah yang lalu dan ratusan yang lain cacat atau cedera, menurut Zelenska.

Pihak berkuasa Ukraine juga sedang menyiasat lebih 230 kes keganasan seksual oleh tentera Russia terhadap orang awam termasuk 13 kanak-kanak, menurut Zelenska.

Beliau berkata mangsa kanak-kanak itu terdiri daripada 12 perempuan dan seorang lelaki, dengan mangsa paling kecil berusia empat tahun ketika kejadian.

“Saya menggesa Setiausaha Agung PBB dan seluruh organisasi untuk membantu kami menyelamatkan kanak-kanak Ukraine,” katanya sambil merayu.

“Bantu kami menyalurkan maklumat mengenai kanak-kanak yang dibawa ke Russia… bantu kami membawa kanak-kanak keluar dari wilayah yang diduduki melalui koridor selamat khas. Anak-anak kita perlukan keadilan,” katanya.

Ketua Pendakwa Ukrainet, Andriy Kostin, berkata dalam usaha mengelakkan kekurangan makanan global, masyarakat antarabangsa berjaya menjadi perantara perjanjian dengan Russia membenarkan eksport bijirin Ukraine diteruskan walaupun perang.

Sehubungan itu, beliau meminta mekanisme undang-undang yang sama untuk memudahkan usaha mengembalikan kanak-kanak Ukraine.

“Dunia sangat aktif,” katanya sambil merujuk kepada penggunaan Inisiatif Bijian Laut Hitam, yang dikeluarkan oleh Russia.

“Saya fikir sekarang sudah tiba masanya untuk PBB bersatu untuk membawa kanak-kanak Ukraine kembali ke rumah.

“Sebarang suara, sebarang tekanan, sebarang komunikasi… akan membantu,” katanya.
– AFP
-TheStar

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373