Wartawan Washington Post rancang mogok 24 jam

Estimate Reading Time: < 1 minute

WASHINGTON: Kesatuan wartawan The Washington Post berkata mereka akan mengadakan mogok 24 jam bermula Khamis bagi membantah pengurangan pekerja dan kegagalan majikan memuktamadkan rundingan kontrak kerja selepas 18 bulan.

Rancangan mogok sehari itu menyusul beberapa minggu selepas bekas penerbit The Wall Street Journal, William Lewis, dinamakan ketua eksekutif dan penerbit Washington Post, ketika akhbar harian itu mengunjurkan kerugian akhir tahun AS$100 juta (RM460 juta).

Akhbar yang turut dikenali sebagai The Post itu adalah salah satu daripada sebahagian besar agensi media global yang bergelut untuk merumuskan model perniagaan yang mampan sejak perubahan corak kewartawanan dalam era internet, yang menyaksikan keuntungan pengiklanan merudum.

Eksekutif di The Post, yang dimiliki hartawan merangkap pengasas Amazon.com, Jeff Bezos, berkata ketika pelantikan Lewis bahawa mereka menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) bagi mengurangkan kakitangan sebanyak 10 peratus dan mengecilkan balai berita kepada 940 wartawan.

Persatuan Akhbar Washington-Baltimore, yang mewakili lebih 1,000 kakitangan editorial, pengiklanan dan kakitangan bukan akhbar di The Post, mendakwa kesilapan pengurusan lama menyebabkan 40 kakitangan hilang kerja tahun lalu.

Kini, syarikat terbabit mahu hentikan 240 lagi kakitangan menerusi VSS dan menurut kesatuan, pengurusan mengugut bahawa lebih ramai akan diberhentikan kerja kerana tidak ramai kakitangan yang menerima pakej VSS.

“Ini bermakna tidak ramai lagi kakitangan The Post bagi membuat laporan kewartawanan yang kritikal bagi pengetahuan masyarakat kita dan memastikan penjawat awam memenuhi tanggungjawab serta mandat mereka.

“Tambahan pula, selepas 18 bulan rundingan kontrak kerja, syarikat enggan membayar imbuhan yang munasabah atau melakukan rundingan secara adil.

“Justeru pada 7 Disember ini, kita mengadakan mogok 24 jam,” kata kesatuan terbabit dalam kenyataan di platform media sosial X.

– REUTERS

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373