Waspada penipuan, hasutan dicetuskan akaun media sosial palsu – MCMC

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 20 Nov — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan akaun palsu di media sosial yang sengaja diwujudkan untuk tujuan penipuan dan hasutan.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini memberikan antara ciri-ciri untuk mengenal pasti akaun palsu.

Antaranya ialah baru diaktifkan dalam tempoh beberapa bulan, yang menurut MCMC akaun baharu kerap diwujudkan, bagi mengaburi jejak daripada pihak berkuasa atau pembongkaran oleh mangsa penipuan sebelum ini.

“Nama pemilik akaun seolah-olah bukan nama sebenar dengan nama yang digunakan ialah nama samaran atau nama orang terkenal, manakala maklumat peribadi juga meragukan dengan biodata yang tidak realistik,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut MCMC, akaun palsu mempunyai senarai rakan yang sedikit atau tiada langsung, kerana tujuan akaun dibuka bukan untuk perkenalan jangka panjang, dan senarai rakan juga mungkin akaun palsu.

“Akaun palsu juga boleh dikenal pasti melalui terlalu banyak ‘likes’ hantaran orang lain di pelbagai topik dan kumpulan namun terlalu sedikit ‘likes’ di halaman sendiri,” menurut kenyataan itu lagi.

MCMC menyatakan penjenayah siber dikesan menggunakan pelbagai taktik licik untuk menjalankan penipuan, termasuk ada yang menyamar menggunakan profil ahli keluarga, kenalan mangsa, orang kenamaan atau individu, serta syarikat terkenal.

MCMC menasihatkan orang ramai agar menjauhkan diri daripada memperkatakan isu sensitif berkaitan agama, kaum, institusi diraja dan politik, yang cuba diapi-apikan oleh pemilik akaun palsu bagi melindungi diri daripada tindakan undang-undang, sekiranya didapati terlibat dengan kenyataan berunsur fitnah, hasutan atau menggugat ketenteraman awam.

“MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan lain boleh mengambil tindakan undang-undang, sekiranya terdapat salah guna internet dan media sosial untuk tujuan jenayah atau hasutan.

“Orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dan peka kepada percubaan menipu oleh mereka yang tidak mempedulikan undang-undang dan ketenteraman awam,” menurut kenyataan itu lagi. -BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373