Yadim: Pihak dakwa Islamisasi di sekolah, IPT tidak faham definisi dakwah

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata, pihak yang menuduh program Rakan Remaja Yadim (RY) di sekolah menengah dan Rakan Siswa Yadim (RSY) di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai program Islamisasi pelajar tidak faham definisi dakwah.

Yang dipertuanya, Nik Omar Nik Abd Aziz berkata, program di bawah agensi itu 100% dibuka kepada umum dan tidak mempunyai agenda tersirat.

“Kita tengok antara faktor utama pihak tertentu tidak faham makna perkataan dakwah itu sendiri,” katanya pada satu sidang media memaklumkan pencapaian agensi itu pada 2019 dan perancangan hala tujunya pada 2020.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan ibu bapa dan beberapa pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa program RY dan RSY adalah agenda Islamisasi pelajar bukan Islam di sekolah dan IPT.

Dis lepas, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Yadim supaya menarik balik surat kebenaran menjalankan aktiviti dakwah di sekolah dan IPT.

MCCBCHST juga mahu pihak terbabit mengeluarkan surat baru menyatakan program Rakan Siswa Yadim hanya akan dijalankan dalam kalangan pelajar Islam dan tidak akan membabitkan pelajar bukan Islam.

Naib presiden MCCBCHST, RS Mohan Shan berkata, walaupun KPM menafikan dakwaan aktiviti itu ialah langkah Islamisasi oleh Yadim di sekolah kehadiran surat kebenaran tersebut menunjukkan sebaliknya.

Dalam pada itu, Nik Omar mengakui sesetengah pihak di negara ini agak sensitif dengan perkataan dakwah dan bersifat Islamfobia.

Beliau berkata, Yadim mahu jelaskan umum kepada umum betapa perkataan dakwah tidak bermaksud menghukum seseorang itu Muslim atau bukan Islam.

“Bukan itu keutamaan kita. Keutamaan dalam dakwah bukan memfokus kepada kegiatan mengkategorikan orang Islam epada mukmin, fasik, munafik atau berjiwa kafir. Tidak.

“Itu pendekatan jauh daripada rahmat,” katanya.

Beliau berkata, Yadim percaya pelajar sendiri sudah matang dan pemikiran mereka tidak boleh dipaksa.

“Kita nak guna ruang di universiti untuk mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama,” katanya.

Nik Omar berkata, sehingga kini 69 pasukan RSY ditubuhkan di peringkat sekolah dan 76 pasukan di peringkat IPT diwujudkan di seluruh Malaysia, termasuk kolej Matrikulasi, Politeknik dan Kolej Universiti yang melibatkan seramai 18,146 ahli.

Dalam perkembangan lain, Nik Omar berkata, Yadim kini mempunyai seramai 30 orang Daie Rahmah di Sabah dan Sarawak.

Katanya, jika di perkampungan orang Asli pula, Yadim sudah lama melakukan program melibatkan komuniti itu.

“Antara fokus pada Orang Asli adalah pembinaan latihan supaya apabila mereka ada kemahiran, ada kemampuan, termasuk nak menjelaskan kepada masyarakat itu tentang isu-isu hukum agama, sebagai Orang Asli Islam mungkin mereka lebih faham situasi di lapangan.

Dalam perkembangan lain, Nik Omar berkata, Yadim tidak bersetuju dengan dengan pendapat sebilangan ibu bapa yang menyifatkan program agama yang dianjurkan di Maktab rendah Sains Mara (MRSM) sebagai “belebihan”.

Beliau berkata, golongan ini mungkin salah faham terhadap pengurusan maktab itu sendiri.

“Setakat yang kita tahu MRSM telah lahirkan pelajar yang cemerlang secara keseluruhannya.

“Sebab aktiviti baca Yassin dan salat hajat itu sudah lama dianjurkan. Ia bukan setahun dua ini. Secara umum ia tidak jejaskan (prestasi pelajar),” katanya.

Sebelum ini, FMT melaporkan sekumpulan ibu bapa berasa tidak selesa dengan jadual harian anak mereka yang dikatakan terlalu banyak “aktiviti agama” di sebuah MRSM di Johor sehingga mengganggu prestasi pelajaran pelajar.

Bagaimanapun, pengetua sekolah berkenaan yang enggan dinamakan menegaskan aktiviti yang terkandung di dalam rutin harian maktab tersebut sudah dipersetujui ibu bapa pelajar sejak sekian lama.

Dalam pada itu, Nik Omar berkata, program di MRSM juga sebenarnya memotivasikan pelajar.

Katanya, kepelbagaian program boleh meringankan, bukan membebankan pelajar.

“Tidak kira sama ada program salat hajat atau bersukan ia boleh mengurangkan beban pelajar. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373