Zaman membuta tuli pilih calon wakil rakyat sudah berakhir

Estimate Reading Time: 3 minutes

Secara dasarnya, tumpuan seluruh negara ketika terarah kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada Sabtu ini.

Ia satu lagi peristiwa penting dalam sistem demokrasi negara yang juga satu tanggungjawab besar kepada 9.2 juta pengundi di enam negeri terbabit untuk mengundi bagi memilih calon dan parti mendapat mandat membentuk kerajaan negeri.

Pada pilihan raya kritikal ini, rakyat harus bijak membuat keputusan, bukan sekadar melihat apa yang ditawarkan bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi perlu bijak mencari wakil mampu berhujah dalam DUN dan menjadi penggubal undang-undang.

Wakil rakyat dipilih mesti mempunyai kemampuan, rekod kerja dan mampu menelurkan dasar sesuai dengan keperluan semasa rakyat. Maka, pengundi usah terpengaruh populariti calon tetapi perlu pertimbangkan kebolehan mereka untuk berkhidmat demi kepentingan awam dan membuat keputusan untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Pengundi perlu bijak menilai antara kaca dan permata. Jangan hanya terpengaruh dengan ceramah kempen sama ada di atas pentas politik atau media sosial. Kebijaksanaan sebenar boleh diselami melalui penyelidikan menyeluruh dan memahami calon sebelum mengundi.

Selain mengambil kira kemampuan parti diwakili sama ada menjadi kerajaan atau pembangkang, pengundi kena selidik pendirian bakal ADUN mengenai isu paling penting untuk rakyat dan pembangunan negeri. Pengundi perlu fokus keupayaan peribadi calon untuk memimpin di samping karisma dimiliki jika berjaya menjadi wakil rakyat.

Pengundi perlu memilih calon tinggi komitmen untuk menyantuni rakyat, mengutamakan kesejahteraan kawasan mereka dan mengutamakan agenda negeri serta keperluan rakyat di akar umbi, melampaui agenda politik peribadi.

Memilih wakil rakyat dengan bijaksana bukan satu tindakan ‘one-off’, tetapi tanggungjawab berterusan. Rakyat membuat penilaian sendiri secara bijaksana dengan mengambil kira maklumat disampaikan calon dalam kempen.

Dalam perkara ini, pengundi usah termakan cakap rakan dan sahabat handai mengulas keupayaan dan peribadi calon sebelum memilih kerana ia menuntut prinsip dan literasi politik tinggi untuk memilih bakal wakil rakyat. Zaman menyokong calon secara membuta tuli sudah berakhir.

Proses semak dan imbang perlu diutamakan dalam pemilihan bakal wakil rakyat kerana ia antara langkah dapat mewujudkan kematangan dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri.

Perbezaan pendapat perlu dilihat dari aspek positif dan politik matang, sesuai dengan semangat ‘adabul al ikhtilaf’ iaitu adab dalam berbeza pendapat dan bukan melalui pandangan politik sempit masing-masing.

Tambahan pula, sebagai negara memiliki pelbagai kaum, hidup rukun bersama sejak lebih 60 tahun merdeka, memilih wakil rakyat daripada kaum berbeza juga bukan satu pengkhianatan kepada bangsa sendiri.

Tak boleh jadi penonton pasif

Tidak dinafikan, ‘dos politik’ berlebihan dalam kehidupan seharian terutama pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sangat merimaskan. Rakyat hari ini terdesak dengan pelbagai tuntutan hidup, maka pemilihan calon dan parti yang betul mampu menguraikan kekusutan hidup melanda hari ini.

Namun begitu, ia bukan alasan untuk pengundi tidak terbabit secara langsung dalam proses politik dan demokrasi khususnya menentukan hala tuju negara.

Ini kerana, banyak perkara lain dalam kehidupan seharian turut berkaitan dengan sistem politik negara. Isu sosio-ekonomi membayangi rakyat Malaysia melalui peningkatan kos sara hidup, kenaikan harga barangan keperluan, ketiadaan peluang pekerjaan atau kurangnya pekerjaan berprofil tinggi dalam negara. Maka rakyat tidak boleh menjadi penonton pasif sahaja.

Pada waktu itu, mungkin sudah terlambat dan untuk membetulkan keadaan jika rakyat sendiri menolak untuk keluar mengundi. Maka, mengundi bukan sekadar satu tanggungjawab kepada negara, bahkan penentu hala tuju hidup masyarakat serta generasi masa depan untuk tahun mendatang.

Pengundi perlu membuat keputusan matang dan jujur supaya dapat membuka jalan bagi masa hadapan lebih baik bagi masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

Pada 12 Ogos ini, pengundi harus menggunakan peluang yang ada untuk membentuk dan mencorak takdir baharu bagi pentadbiran serta perjalanan hidup penduduk di enam negeri.

Mengundi adalah pertaruhan hidup dan berisiko tetapi manisnya tetap ada jika memilih dengan tepat kerana wakil rakyat dan parti dipertanggungjawab mencorak masa depan lebih gemilang kepada rakyat serta negeri.

Bersamalah memikul tanggungjawab mengundi dengan yakin dan semoga PRN ini menjadi bukti kekuatan demokrasi dan harapan untuk Malaysia lebih baik.

Mohd Rafizi adalah Timbalan Pendaftar Kanan Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) UiTM manakala Sheema Liza adalah Pensyarah kanan di Universiti Teknologi MARA Perak

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373