MADRID: Carlo Ancelotti melahirkan rasa kurang senang dengan tempoh pengumuman oleh Brazil mengenai pelantikannya sebagai pengurus baharu mereka.
Ancelotti disahkan kelmarin sebagai bos pasukan kebangsaan Brazil dan akan memulakan tugasnya pada 26 Mei ini, selepas berakhirnya kempen La Liga.
Pengendali dari Itali berusia 56 tahun itu akan menjadi ketua jurulatih warga asing pertama pasukan Brazil.
Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) mengesahkan dalam satu kenyataan Ancelotti, yang berbaki setahun dalam kontraknya bersama Real Madrid, akan menyertai mereka selepas kelab gergasi Sepanyol itu bermain aksi terakhir musim ini.
CBF turut berterima kasih kepada Real kerana kerjasama mereka – tetapi jelas Ancelotti sendiri kurang senang terhadap majikan baharu mengenai pengumuman mereka.
Bercakap pada satu sidang akhbar semalam, Ancelotti berkata: “Jika saya tidak berdepan sidang akhbar hari ini ia pasti satu hari yang hebat. Tetapi pada sidang akhbar ini saya terpaksa menjelaskan beberapa perkara yang saya tidak mahu jelaskan.
“Hingga 25 Mei ini, saya menyarung jersi Real Madrid, sesuatu yang saya amat hormati.”
Ancelotti berkata beliau tidak mahu “sesiapa bertanyakan kepadanya mengenai perkara lain, kerana saya terlalu menghormati jersi ini dan saya mahu menghormatinya hingga ke hari terakhir” tetapi berkata beliau “amat gembira dengan segala-gala di persekitarannya.”
Real masih belum mengumumkan secara rasmi pemergian Ancelotti.
Kelab La Liga itu dijangka menggantikan warga Itali itu dengan Xabi Alonso, yang mengumumkan beliau akan meninggalkan Bayer Leverkusen pada hujung musim ini.
“Real Madrid akan mengeluarkan kenyataan bila mana mereka mahu. Tidak ada apa-apa masalah,” kata Ancelotti. “Mereka akan melakukannya pada masa yang sesuai untuk Real Madrid dan tiada apa-apa lagi untuk ditambah.”
Ancelotti akan menamatkan tempoh keduanya di ibu negara Sepanyol itu, sesudah menambah 11 trofi dalam karier gemilangnya termasuk dua kejuaraan La Liga, dua lagi Liga Juara-Juara dan satu lagi Copa del Rey.
-AGENSI
-Beritaharian