MADRID 8 April 2026 (The Capital Post) – Pengendali Real Madrid, Álvaro Arbeloa, menzahirkan keyakinan tinggi bahawa pasukannya mampu bangkit pada aksi timbal balik di Munich meskipun tewas dalam perlawanan pertama.
Real Madrid sebelum ini mengalami kekalahan 1-2 kepada Bayern Munich dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan mencabar menjelang perlawanan kedua.
Arbeloa mengakui keputusan tersebut tidak memihak kepada pasukannya, namun percaya kekalahan itu berpunca daripada kesilapan sendiri yang memberi ruang kepada lawan untuk menjaringkan gol.
Menurutnya, walaupun tugas di Allianz Arena bukan mudah, Real Madrid memiliki pengalaman dan mentaliti untuk mengatasi tekanan serta mencipta kebangkitan di gelanggang lawan.
Beliau menegaskan bahawa hanya satu pasukan yang benar-benar mampu melakar kemenangan di Munich dalam situasi sebegini, dan beliau yakin pasukannya mempunyai keupayaan tersebut berdasarkan sejarah serta kekuatan skuad.
-Advertisement-
Dalam masa sama, Arbeloa turut menekankan kepentingan memperbaiki kesilapan terutama ketika kehilangan bola, yang dilihat menjadi punca utama jaringan lawan dalam perlawanan pertama.
Walaupun berdepan cabaran termasuk ketiadaan beberapa pemain utama, beliau tetap optimis barisan sedia ada mampu menggalas tanggungjawab dan memberikan aksi terbaik dalam perlawanan penentuan itu.
Dengan peluang ke separuh akhir masih terbuka, Real Madrid kini perlu mempamerkan prestasi lebih konsisten dan disiplin tinggi bagi memastikan misi kebangkitan di Munich dapat direalisasikan.-The Capital Post