WASHINGTON: Washington semalam mengarahkan semua penerbangan membabitkan syarikat dari China digantung, selepas Beijing gagal membenarkan syarikat penerbangan Amerika beroperasi semula ke negara itu.
-Advertisement-
Langkah itu mengeruhkan lagi hubungan antara dua gergasi besar ekonomi, selepas krisis COVID-19 dan di tengah kebangkitan perang perdagangan yang masih belum selesai sepenuhnya.
Tindakan Amerika Syarikat (AS) itu berkuat kuasa 16 Jun nanti, namun boleh dilaksanakan lebih awal jika diarahkan Presiden Donald Trump, kata Jabatan Pengangkutan (DOT).
Penggantungan itu membabitkan tujuh syarikat penerbangan awam China, walaupun hanya empat beroperasi di AS, termasuk Air China dan China Eastern Airlines, kata DOT.
“Syarikat penerbangan AS meminta untuk menyambung perkhidmatan ke China bermula 1 Jun.
-Advertisement-
“Kegagalan kerajaan China untuk membenarkan perkara ini mencabuli Perjanjian Pengangkutan Udara,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Syarikat penerbangan AS sebelum ini mengurangkan atau menggantung penerbangan ke China susulan pandemik COVID-19.
United Airlines dan Delta Air Lines membuat permohonan pada awal Mei lalu untuk menyambung perkhidmatan, namun gagal memperoleh kelulusan dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam China.
– AFP