Ayu ‘jual’ 38 filem di Cannes

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Dengan hasrat mengetengahkan 38 filem tempatan ke pasaran antarabangsa, pengasas D’Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar gembira penyertaan di Festival Filem Antarabangsa Cannes di Cannes, Perancis, baru-baru ini, mendapat maklum balas positif.

-Advertisement-

Rosmarayu atau mesra dengan panggilan Ayu bersyukur penyertaannya pada festival filem tersohor itu memberi impak positif kepada industri sinematik tempatan melalui pendedahan diterima.

“Saya cuba memasarkan filem Malaysia di Cannes selama kira-kira seminggu di sana. Alhamdulillah, filem kita mendapat sambutan positif.

“Rombongan juga mengatur pertemuan dan bermesyuarat selama tiga hari dengan pengedar kandungan dari Amerika Syarikat (AS), China dan Eropah.

“Kami mempromosikan filem tempatan kepada pengedar filem antarabangsa dan mereka menunjukkan minat mendalam terhadap filem Malaysia.

“Secara keseluruhannya, saya percaya kami sangat berani kerana memperkenalkan 38 judul filem tempatan secara terus kepada pengedar antarabangsa, walaupun mereka pada awalnya tidak kenal saya.

“Saya hanya terjah tanpa fikirkan bahawa mereka menolak kerana apa yang penting, saya perkenalkan semua judul filem yang saya bawa ke Cannes,” katanya kepada BH Online.

Antara filem dibawa Rosmarayu ke Cannes adalah Daddyku Gangster; Kutukan Ilmu Hitam (WARUGA); Harum Malam; Jodoh Syaitan; Zaara; M4m4; Syif Malam; Magik dan Busut Bonang.

Rosmarayu mengaku banyak ilmu dipelajari untuk membangunkan kandungan dan kualiti filem tempatan melalui interaksi dengan tenaga profesional yang menyertai festival filem berkenaan.

“Kami membawa harapan penerbit filem tempatan yang memberi amanah memasarkan 38 judul filem kepada saya.

“Saya amat berterima kasih kepada penerbit yang beri keizinan untuk bawa filem mereka di Cannes. Insya-Allah, jika ada rezeki dan mereka berminat, saya akan atur rundingan seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun, Rosmarayu berkata, kualiti filem tempatan tidaklah begitu jauh berbanding karya lain yang dibawa ke festival berkenaan.

-Advertisement-

“Biarpun bajet lebih kecil dengan aspek teknikal dan pembuatan yang lebih sederhana, berbanding negara maju yang ada pasaran cukup besar.

“Apa yang dipelajari adalah kita seharusnya bangga dengan apa yang kita miliki, walaupun filem kita kecil atau kurang kualiti. Apa yang penting, kita harus berdiri teguh menyatakan Malaysia ada ruang tersendiri.

“Kita juga ada cerita untuk disampaikan kepada dunia walaupun kecil. Apa yang penting, kita juga ada hak berkongsi cerita dan naratif sendiri dengan rasa bangga,” katanya.

Rosmarayu berkata, melalui pendedahan di Cannes, D’ Ayu Pictures Distribution mahu terus memperjuangkan filem tempatan di pasaran antarabangsa agar lebih dikenali.

“Kami berharap filem kita akan mendapat lebih banyak tempat dan lebih dikenali. Saya dengan senyum dan bangga menyatakan bahawa saya dari Malaysia.

“Saya sarankan agar kita tingkatkan kualiti filem bermula daripada pembangunan kandungan hingga pasca produksi.

“Memang tidak dinafikan apabila ada mendakwa filem Malaysia jauh ketinggalan dengan karya negara jiran. Namun, saya percaya, produk tempatan boleh jadi lebih hebat jika kita dapat sokongan penuh pihak tertentu,” katanya.

Rosmarayu berkata, jika filem Malaysia mahu menawan dunia, industri filem tempatan perlu melakukan anjakan dengan menerbitkan naskhah yang mempunyai nilai produksi tinggi.

Selain itu, Rosmarayu berkata, usaha lebih giat perlu dilakukan bagi menarik syarikat produksi asing menjalankan penggambaran filem di Malaysia.

“Inisiatif ini secara tidak langsung meningkatkan ekonomi negara memandangkan kerajaan menyasarkan sumbangan 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui industri kreatif. Ini membabitkan anggaran KDNK bernilai RM31.9 bilion menjelang 2025.

“Demi merealisasikan hasrat kerajaan, saya sarankan penggiat seni tanah air berganding bahu dalam menghasilkan karya di luar jangkaan dan beri tumpuan kepada pasaran antarabangsa.

“Usahlah berpuas hati dengan tayangan tempatan dan platform Over The Top (OTT) sahaja,” katanya.
-BeritaHarian