KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara berdepan tamparan apabila perejam utama skuad kebangsaan, Mohamad Azlan Alias disahkan mengalami kecederaan serius retak tulang siku pada perlawanan final regu berpasukan Piala Asia menentang Thailand, Ahad lalu.
Perkembangan mengecewakan itu dimaklumkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan selepas pemain berusia 27 tahun itu menjalani ujian perubatan penuh, hari ini.
Lebih mengecewakan, kecederaan itu memaksa Azlan yang juga antara tonggak pasukan kebangsaan dijangka memerlukan masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk pulih sepenuhnya sebelum dapat kembali beraksi.
Dalam perlawanan menentang regu Thailand di Stadium Titiwangsa itu, Azlan mengalami kecederaan itu selepas melakukan pendaratan kurang sempurna susulan rejamannya pada set kedua.
Sekali pun regu negara yang dibarisi Azlan, Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Amirul Zazwan Amir sebagai pengumpan menang perlawanan set berkenaan, mereka begitupun terpaksa akur dengan kekalahan 2-1 (11-15, 15-12, 15-17).
“Azlan Alias disahkan mengalami keretakan tulang siku oleh pihak doktor selepas menjalani ujian perubatan penuh pada pagi ini. Beliau dijangkakan akan berehat selama dua bulan,” kata PSM.
Ketika ditemui selepas perlawanan pada Ahad lalu, Azlan mengakui bahawa dirinya meminta untuk tidak dikeluarkan dan memilih untuk menahan kesakitannya kerana tidak mahu perancangan pasukan terganggu.
Sebagai rekod, kehilangan pemain berpengalaman itu dijangka memberi impak kepada skuad sepak takraw negara yang dijadual menghadapi dua lagi kejohanan utama pada tahun ini iaitu Piala Raja Thai yang dijadual pada Julai dan Sukan SEA pada Disember yang berlangsung di Thailand.
-BeritaHarian