SEGAMAT: Komuniti B40 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah, di sini akan dibantu mendapatkan lesen motosikal B2 secara percuma.
-Advertisement-
ADUN Jementah, Ng Kor Sim, berkata, inisiatif itu antara usaha pihaknya untuk memperluaskan peluang golongan itu memperoleh pekerjaan dan meningkatkan mobiliti ekonomi dalam kalangan masyarakat setempat.
“Ramai penduduk Jementah, terutama anak muda menyuarakan keperluan memiliki lesen motosikal untuk memudahkan mereka mencari pendapatan sebagai penghantar barang, kurier dan lain-lain kerja yang memerlukan kemahiran dan lesen berkenaan.
“Inisiatif kami ini bagi memenuhi permintaan ramai. Lesen B2 bukan sahaja memberi kemudahan bergerak, tetapi turut membuka ruang kepada pelbagai peluang ekonomi, terutamanya dalam sektor penghantaran yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata, dalam era ekonomi gig yang kian berkembang, permintaan terhadap pekerjaan seperti penghantar makanan dan kurier semakin tinggi, tetapi ramai belia luar bandar masih terhalang kerana tiada lesen sah ekoran kekangan kewangan.
“Peserta akan terima bantuan sepenuhnya meliputi latihan, peperiksaan dan bayaran berkaitan, dengan kos keseluruhan dianggarkan sekitar RM500 seorang,” katanya memaklumkan inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan.
-Advertisement-
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kementerian berkenaan dan menterinya, Anthony Loke Siew Fook atas komitmen serta sokongan penuh terhadap usaha itu yang memudahkan pelaksanaannya demi manfaat penduduk Jementah.
“Pendekatan kami sentiasa berteraskan keperluan rakyat dan realiti di peringkat akar umbi tanpa menunggu musim pilihan raya untuk bertindak.
“Berdasarkan sambutan dan keberkesanan program ini, kami terbuka untuk memperluaskan inisiatif seumpama ini pada masa depan. Ini langkah kecil ke arah membantu anak muda membina kerjaya dan berdikari, kita mahu beri mereka permulaan yang betul,” katanya.
Syarat menyertai program berkenaan adalah warganegara Malaysia, berusia 16 hingga 35 tahun, golongan B40 atau tanggungan mereka, sihat tubuh badan dan mental.
Selain itu, tidak pernah memiliki lesen memandu dan tidak disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mahkamah.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Khidmat Rakyat ADUN Jementah di talian 012-3605800.
-BeritaHarian