Banyak sektor perniagaan kembali pulih

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Banyak sektor perniagaan menunjukkan trend pemulihan ketara, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk memulihkan ekonomi dengan segera selepas terjejas akibat penularan COVID-19.

-Advertisement-

Petunjuk itu berpandukan kepada trend orang ramai berbelanja dan rekreasi yang semakin baik pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata berkata, aktiviti peruncitan mendapat rangsangan semula dengan jumlah pengunjung ke pusat membeli-belah kembali meningkat.

“Jumlah kenderaan di lebuh raya bertol kembali normal iaitu sekitar empat juta kenderaan setiap hari berbanding ketika PKP.

“Lebih daripada 85 peratus kerja di tapak binaan juga kembali beroperasi, disamping pemulihan terhadap pelancongan domestik dengan hotel dan resort menyaksikan peningkatan tempahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto NSTP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Foto NSTP

“Permintaan maksimum bekalan elektrik dipulihkan seperti biasa iaitu kira-kira 17,000 megawatt (MW), angka yang tidak pernah tercapai sebelum ini ketika PKP, menurun kepada 13,000 MW,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Seminar Perbankan dan Kewangan serta Persidangan Virtual Malaysia 2020 : Cabaran Semasa Menghadapi Ekonomi Malaysia di ibu negara, hari ini.

-Advertisement-

Sementara itu, Mustapa berkata, kerajaan akan menangani beberapa permasalahan dalam rancangan pemulihan ekonomi negara bagi tempoh jangka panjang.

Pertama katanya adalah menangani kerenah birokrasi dan masalah peraturan.

“Sebagai contoh, menurut Bank Dunia, prosedur memulakan perniagaan di Malaysia mengambil masa 17 hari. Ini lebih lama berbanding hanya 1.5 hari di Singapura dan Hong Kong serta lapan hari di Korea Selatan,” katanya.

Katanya, ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran pekerjaan, pengangguran belia dan graduan; peratusan rendah tenaga kerja mahir serta dan pergantungan tinggi terhadap buruh asing berkemahiran rendah ini menyekat kemampuan ekonomi Malaysia untuk bersaing dengan lebih berkesan.

“Sebagai contoh, kurang satu pertiga pekerja di negara ini berada dalam kategori mahir. Ia tidak meningkat dalam 10 tahun terakhir.

“Pada tahun 2019, pekerja asing membentuk sekitar 32 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerjaan di sektor pertanian, pembinaan (23 peratus), pembuatan (22 peratus) dan 10 peratus bagi sektor perkhidmatan,” katanya.

Permasalahan seterusnya kata beliau adalah penggunaan teknologi yang rendah dalam kalangan syarikat tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

-BH