Bekas presiden Brazil ditahan berkaitan kes rasuah, pengubahan wang haram

Estimate Reading Time: < 1 minute

SAO PAULO: Hakim Mahkamah Agung Brazil, Alexandre de Moraes, semalam mengarahkan penahanan segera bekas Presiden Brazil, Fernando Collor de Mello, selepas menolak rayuan terhadap sabitan lampau beliau berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Arahan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Agung pada tahun 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun dan 10 bulan terhadap Collor, iaitu presiden pertama Brazil yang dipilih melalui undian popular selepas berakhirnya pemerintahan diktator tentera pada 1985.

Dalam satu kenyataan, pasukan pembelaan Collor menyatakan mereka “terkejut dan bimbang” dengan keputusan Moraes, namun menegaskan bekas presiden itu akan akur dengan perintah mahkamah berkenaan.

Moraes turut meminta supaya satu sesi bersama panel penuh Mahkamah Agung diadakan bagi menentukan sama ada keputusannya akan dikekalkan atau sebaliknya.
Sabitan Collor pada 2023 adalah hasil siasatan pihak pendakwa raya Brazil yang mendakwa beliau menerima kira-kira 30 juta reais (RM25.20 juta) dalam bentuk rasuah daripada sebuah anak syarikat milik syarikat minyak negara, Petrobras.
-BeritaHarian