JOHOR BAHRU: Benteng skuad Harimau Malaya tampak lebih mantap apabila ketua jurulatih, Peter Cklamovski memanggil sekurang-kurang 14 pemain pertahanan pada kem latihan pusat kali ini.
Situasi itu mencetuskan persaingan sengit antara pemain yang sudah pasti akan bekerja keras untuk merebut tempatan dalam skuad akhir berdepan Vietnam bagi aksi kelayakan Piala Asian 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 Jun ini.
Tonggak pertahanan Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar mengakui tindakan yang dilakukan Cklamovski itu sebagai perancangan terbaik dalam mengukuhkan benteng Harimau Malaya.
Harith berkata, walaupun agak bergelut untuk kembali ke tahap kecergasan sebenar selepas berehat kira-kira tiga minggu, namun dia yakin perkara itu akan diatasi dengan semangat untuk membantu skuad negara.
“Memang susah untuk berada di tahap kecergasan terbaik. Tetapi sebagai pemain profesional, kami tahu situasi yang harus ditempuhi dan saya berasa semua pemain sudah buat persediaan sebelum menyertai kem latihan.
“Walaupun jurulatih memanggil 38 pemain untuk menjalani latihan dan kebanyakannya pemain pertahanan, ia memberi ruang kepada saya serta pemain lain bersaing secara lebih kompetitif.
“Fikiran saya tidak terlalu tertumpu untuk menempatkan diri dalam senarai terakhir 23 pemain nanti, sebaliknya memberi fokus kepada latihan sepanjang tempoh seminggu ini dan membuktikan sesuatu kepada barisan kejurulatihan,” katanya.
Aksi berdepan Vietnam adalah perlawanan kedua Kumpulan F selepas Harimau Malaya membuka kempen kelayakan terakhir itu dengan langkah kanan apabila menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, 25 Mac lalu.
Sebelum menentang Vietnam, Cklamovski akan menguji skuadnya dalam perlawanan persahabatan antarabangsa berdepan pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 29 Mei ini.
Mengulas mengenai pertembungan dengan Cape Verde, Harith Haiqal menyifatkan ia perlawanan penting untuk melihat kekuatan dan kelemahan pasukan sebelum berdepan Vietnam.
“Kita tahu Cape Verde berada di ranking yang tinggi, tapi di bawah bimbingan barisan kejurulatihan yang diketuai Cklamovski, sudah tentu kami akan mendapat pendedahan terbaik terutama aspek taktikal,” katanya.
-Beritaharian