Bonnie intai hatrik emas di LA28

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin memasang impian untuk meraih pingat emas ketiga berturut-turut di pentas Sukan Paralimpik apabila temasya Los Angeles 2028 berlangsung empat tahun lagi.

-Advertisement-

“Saya memang terfikir nak menang tiga kali berturut-turut di Paralimpik. Tapi kena tengok keadaan, jaga prestasi dan kesihatan. Pesaing pun dah mula muncul, tapi saya akan pastikan saya sentiasa bersedia,” katanya.

Setakat ini, belum ada atlet para negara yang berjaya mencatatkan pencapaian seumpamanya.

Jaguh lompat jauh, Datuk Abdul Latif Romly hampir melakukannya selepas memenangi emas di Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020, namun sekadar meraih perak di Paris 2024.

Selain Bonnie, satu lagi sandaran negara untuk sejarah emas hatrik di Paralimpik ialah pemain badminton para, Cheah Liek Hou yang sudah memiliki dua emas, masing-masing di Tokyo 2020 dan Paris 2024.

Bonnie, yang dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2024, enggan terlalu selesa dengan kejayaan yang dikecapinya dan kini menetapkan sasaran lebih tinggi untuk mengekalkan status sebagai atlet powerlifting nombor satu dunia.

-Advertisement-

Atlet kelahiran Sarawak itu mempertahankan kejuaraannya dalam kategori 72 kilogram lelaki di Paris 2024 dengan angkatan 232 kilogram sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri (231kg) yang dilakar sebelum ini.

“Harapan saya sekarang adalah untuk mengekalkan ranking nombor satu dunia. Itu yang saya kejar. Saya juga nak perbaiki lagi rekod peribadi saya,” katanya.

Menurut Bonnie, dua kejohanan utama menjadi fokusnya tahun ini iaitu Piala Dunia di Beijing bulan depan dan Kejohanan Dunia di Mesir pada Oktober ini yang bakal menjadi medan terbaik untuk menguji prestasi serta mempertahankan kedudukannya sebagai juara dunia.

Dalam pada itu, Bonnie juga berhasrat untuk menyertai Sukan Para ASEAN, satu-satunya pentas yang belum pernah disertainya namun menyedari peluangnya mungkin terbatas kerana statusnya sebagai juara Paralimpik dan dunia.

“Saya belum pernah menang di Sukan Para ASEAN. Kalau boleh, saya nak cuba juga. Tapi tak pasti boleh atau tidak sebab katanya atlet bertaraf Paralimpik tak dibenarkan,” katanya
-BeritaHarian