Buka peluang luas jururawat sambung pengajian lebih tinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

PROFESION kejururawatan menjadi tulang belakang kepada sistem kesihatan kerana golongan itu melaksanakan pelbagai peranan penting, termasuk penjagaan holistik kepada pesakit, pendidikan masyarakat mengenai kesihatan, sokongan emosi kepada keluarga pesakit serta terbabit dalam aspek pengurusan dan pentadbiran kesihatan.

-Advertisement-

Dalam apa jua keadaan, sama ada di wad hospital, di klinik komuniti mahupun di lapangan bencana, jururawat sentiasa berada di barisan hadapan, berbakti dengan sepenuh hati dan jiwa.

Hari Jururawat Malaysia yang disambut semalam adalah detik amat bermakna untuk mengiktiraf jasa dan pengorbanan jururawat meskipun mereka boleh diibaratkan wira tidak didendangkan.

Mereka menjalankan tanggungjawab besar dan mencabar, termasuk bekerja dalam syif panjang, menghadapi tekanan emosi dan menguruskan situasi kritikal yang memerlukan ketangkasan dan kebijaksanaan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara menyaksikan betapa pentingnya peranan jururawat, terutama ketika penularan pandemik COVID-19. Jururawat menjadi antara pasukan petugas utama memberikan rawatan kepada pesakit, melaksanakan pengesanan kontak, memberi vaksinasi dan mendidik masyarakat mengenai langkah pencegahan. Ternyata, tanpa pembabitan jururawat berani dan berdisiplin, usaha mengekang penularan wabak pasti sukar dilaksanakan.

Oleh itu, masyarakat keseluruhan termasuk kerajaan, organisasi kesihatan, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menunjukkan sokongan kepada jururawat melalui pengiktirafan, penghargaan dan penambahbaikan kepada persekitaran kerja serta peluang pembangunan kerjaya mereka.

-Advertisement-

Tuntut pengetahuan, kemahiran tinggi

Seiring perkembangan pesat dalam teknologi kesihatan dan keperluan rawatan pesakit semakin kompleks, profesion kejururawatan menuntut tahap pengetahuan dan kemahiran tinggi.

Jururawat hari ini bukan lagi sekadar pelaksana tugasan klinikal, malah turut berperanan sebagai pemimpin, penyelidik, pendidik dan penggubal dasar kesihatan.

Justeru, penting untuk semua jururawat diberi galakan dan peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Usaha ini akan membuka ruang kepada jururawat untuk meningkatkan pengetahuan saintifik, memantapkan kemahiran klinikal serta memperkukuh keupayaan dalam membuat keputusan berdasarkan bukti.

Peningkatan tahap pendidikan juga membolehkan jururawat memainkan peranan lebih besar dalam pelbagai bidang seperti pengurusan kesihatan awam, kejururawatan komuniti, pengurusan penyakit kronik, penjagaan warga emas dan pendidikan kesihatan.

Dengan itu, jururawat mampu menjadi ejen perubahan dalam memperkukuhkan sistem kesihatan negara. Kerajaan, institusi pengajian tinggi dan badan profesional digesa untuk menyediakan lebih banyak peluang pendidikan seperti program ijazah lanjutan, kursus profesional berterusan (CPD) serta insentif pembiayaan bagi menyokong aspirasi jururawat dalam mengejar kecemerlangan akademik dan profesional.

Tema sambutan Hari Jururawat Antarabangsa pada tahun ini ‘Our Nurses. Our Future. Caring for Nurses Strengthens Economies’ amat bertepatan dengan realiti semasa. Ia menyeru semua pihak untuk melihat profesion kejururawatan bukan sahaja sebagai penyumbang kepada kesihatan individu, bahkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.

Penjagaan diberikan jururawat mempunyai nilai ekonomi tinggi kerana mampu mengurangkan tempoh rawatan pesakit, mencegah komplikasi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Dengan pelaburan betul terhadap profesion ini, termasuk latihan, sokongan psikososial, kenaikan pangkat dan pengiktirafan, jururawat dapat memberikan impak positif berkekalan terhadap sistem kesihatan negara serta masyarakat umum.

Sambutan Hari Jururawat juga menjadi peringatan penting kepada seluruh warga negara mengenai nilai murni, komitmen dan kepakaran jururawat dalam memastikan rakyat menerima penjagaan kesihatan terbaik. Penghargaan terhadap jururawat perlu diterjemahkan bukan sahaja dalam bentuk ucapan, tetapi juga melalui tindakan menyokong kemajuan profesion ini.

Penulis adalah Penolong Profesor Kulliyah Kejururawatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
-BeritaHarian