Bursa Saham ASEAN mampu perkukuh pasaran modal serantau

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Penubuhan bursa saham ASEAN, jika menjadi kenyataan, adalah sebagai langkah tepat dalam mentransformasikan pasaran modal serantau dari segi peningkatan kecairan, pemulihan harga dan aliran modal merentas sempadan, kata penganalisis.

-Advertisement-

Penganalisis juga berpendapat, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini mempunyai peluang strategik untuk menerajui perbincangan mengenai penubuhan bursa saham serantau itu.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata bursa saham yang bersatu akan meningkatkan kedalaman pasaran, mengurangkan sebaran ‘bid-ask’ dan menarik pelabur institusi, sambil turut memacu penggunaan perdagangan berkapasiti tinggi, perdagangan algoritma dan analitik dipacu kecerdasan buatan (AI) untuk kecekapan dan ketelusan yang lebih tinggi.

-Advertisement-

Beliau berkata, dari segi ekonomi, ia akan menurunkan kos modal, meningkatkan permodalan pasaran dan menambah baik penilaian korporat, serta memanfaatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan industri pertumbuhan tinggi.

Selain itu, katanya, bursa saham ASEAN boleh mengurangkan pergantungan kepada hab kewangan Barat, mengukuhkan kedaulatan kewangan serantau.

Jelasnya, memandangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengancam tarif tambahan ke atas negara yang mengejar dedollarisasi, ini boleh menjadi strategi alternatif bagi ASEAN untuk memperdalam integrasi kewangan sambil mengurangkan pergantungan kepada dolar AS.

Walau bagaimanapun, katanya, cabaran seperti penyelarasan kawal selia, risiko mata wang dan jurang kematangan pasaran mesti ditangani melalui pelaksanaan berperingkat, tadbir urus yang kukuh dan penyelesaian dipacu teknologi kewangan (fintech).

“Dengan kepakaran pasaran modal Malaysia, peranan kepimpinannya memberikan peluang utama untuk membabitkan pemain industri, pengawal selia dan penggubal dasar dalam membangunkan pelan hala tuju yang jelas.

“Jika dilaksanakan secara strategik, bursa saham ASEAN boleh menjadi pencetus perubahan, memperkukuh daya tahan ekonomi ASEAN dan daya tarikan pelaburan global,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru penubuhan bursa saham ASEAN bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi 10 negara anggota.

Menteri Luar itu dilaporkan berkata, bursa saham serantau itu boleh merangkumi 50 syarikat terbesar dari setiap negara ASEAN, selain mereka diberi insentif khas dan layanan tarif.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata seruan penubuhan bursa saham ASEAN dilihat akan menggalakkan lagi kerjasama serantau dalam aspek pasaran ekuiti, yang mana ia mungkin menggalakkan aktiviti pelaburan dalam kalangan negara ASEAN serta memastikan aliran modal bergerak dalam sekitar rantau ini.

Selain itu, beliau berkata, penganalisis ekuiti mungkin boleh mendapat suatu liputan yang lebih meluas dan menggalakkan ketelusan yang sekali gus akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi.

Katanya, mungkin ia juga adalah langkah bagi menangkis ancaman ekonomi global terutamanya dalam aspek perang perdagangan yang perlu ditangani secara berkelompok iaitu ASEAN sebagai suatu blok ekonomi boleh bersepakat dalam menghadapi cabaran itu.

Tahun ini, Malaysia menyandang jawatan Pengerusi ASEAN untuk kali kelima selepas menjadi Pengerusi pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-BeritaHarian