Campur tangan pihak ketiga, Nora tekad bercerai

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Nora Ariffin bakal memfailkan perceraian terhadap suami, Dr Rushdi Ramli di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Isnin ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafiza Ariffin berkata, keputusan dibuat selepas usaha menyelamatkan rumah tangga mereka menemui jalan buntu, selain campur tangan pihak ketiga.

“Dengan dukacita, saya bertekad membuat keputusan untuk memfailkan permohonan perceraian terhadap suami, Dr Rushdi Ramli.
“Tidak dinafikan, segala usaha memulihkan rumah tangga melalui pelbagai peringkat termasuklah sesi pertemuan dan perbincangan bersama pihak-pihak, tetapi masih belum mencapai kata penyelesaian.

“Hal ini berikutan wujudnya campur tangan pihak ketiga sehingga perkahwinan kami tidak lagi dapat diteruskan dengan aman.

“Malah, ia turut memberi kesan kepada keselamatan saya sehingga membawa kepada pengabaian,” katanya.

Nora menambah, keputusan bercerai juga disebabkan kemelut rumah tangganya memberi kesan terhadap reputasinya dalam dunia seni.

Dengan apa yang berlaku, tegas Nora, tiada apa yang boleh mengubah keputusannya itu,

“Isu rumah tangga ini turut menjejaskan keselamatan dan merosakkan reputasi sebagai artis yang bergiat sekian lama dalam industri muzik.

“Atas faktor terdesak dan kebaikan semua pihak, saya tetap dengan keputusan meneruskan perceraian ini,” ujarnya.

Sementara itu, penyanyi Dendam Dalam Diam itu berharap kenyataannya itu dapat menghentikan segala spekulasi berkaitan rumah tangganya itu.

Pada 19 Mac lalu, Nora memberi bayangan seperti memfailkan perceraian apabila memuat naik foto papan tanda Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.

Melalui hantaran dimuat naik dalam Instagram (IG), Nora menjelaskan apa dilakukan bukanlah atas kehendak dirinya.

Pada 12 Ogos tahun lalu, Nora memuat naik video Rushdi menceraikannya dengan talak satu dalam video berdurasi 52 saat dalam IG.

Bagaimanapun, Nora berkata, perceraian berlaku sebelum tarikh video dimuat naik.

BH kemudian melaporkan Nora mengesahkan sudah rujuk semula dengan Rushdi pada 14 September tahun lalu.

Pasangan itu bergelar suami isteri pada 2021, malah Dr Rushdi adalah sahabat baik bekas suami Nora iaitu Allahyarham Johan Nawawi yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 24 Mac 2017.
-BeritaHarian