PARIS: Bayern Munich memerlukan gol pada masa kecederaan untuk mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah dengan menyingkirkan Celtic, manakala AC Milan disingkirkan Feyenoord selain Club Brugge dan Benfica turut mara.
-Advertisement-
Bayern memiliki bekalan hasil kemenangan 2-1 ke atas Celtic dalam perlawanan pertama playoff, minggu lalu, namun pendahulu Bundesliga itu terlepas peluang untuk menjarakkan kedudukan dengan percubaan Harry Kane terkena palang sebelum tamat babak pertama.
Sebaliknya, Celtic berjaya mendapatkan gol pembukaan pada minit ke-63 menerusi Nicolas Kuehn, sekali gus menyamakan kedudukan secara agregat.
Alphonso Davies bagaimanapun meledak gol dari jarak dekat pada masa kecederaan untuk menjadikan kedudukan 1-1 dan mengesahkan kemaraan Bayern yang juga juara Eropah enam kali menerusi agregat 3-2.
Skuad kendalian Vincent Kompany itu akan mengetahui lawan mereka di peringkat 16 terakhir sama ada Bayer Leverkusen atau Atletico Madrid selepas proses undian, Jumaat ini.
-Advertisement-
“Sudah tentu, kami sentiasa mahu mendominasi dan menjadi lebih baik daripada lawan, terutamanya di sini. Tetapi keputusan sentiasa menjadi perkara yang paling penting,” kata Kompany kepada UEFA.com.
Ia menjadi keputusan yang mengecewakan bagi Celtic apabila terkeluar dari saingan, namun juara Scotland itu boleh berbangga dengan prestasi yang mereka tampilkan dalam dua perlawanan berkenaan.
“Ia tidak kelihatan seperti kami akan melepaskan gol berdasarkan persembahan kami, namun nasib malang buat kami. Saya hanya boleh berbangga dengan persembahan dan pemain memberikan segala-galanya,” kata pengurus Celtic, Brendan Rodgers.
Terdahulu, juara tujuh kali, Milan disingkirkan Feyenoord selepas terikat 1-1 di San Siro yang menyaksikan kelab Belanda itu mara dengan agregat 2-1.
Sementara itu, Club Brugge menyingkirkan Atalanta menerusi agregat 5-2 manakala Benfica mengatasi Monaco dengan agregat 4-3.
-AFP
-BeritaHarian