China tidak akan pedulikan ‘permainan tarif’ AS

Estimate Reading Time: 2 minutes

BEIJING: China menegaskan pihaknya tidak akan sesekali melayan Amerika Syarikat (AS) sekiranya negara itu terus ‘bermain’ dengan kadar tarif, tegas Kementerian Luar republik itu.

Penegasan itu dibuat selepas Rumah Putih menggariskan bagaimana China dikenakan tarif sehingga 245 peratus akibat tindakan balasnya.

Dalam helaian fakta yang disiarkan Selasa lalu, Rumah Putih menetapkan jumlah tarif China termasuk tarif timbal balas terbaharu sebanyak 125 peratus, tarif 20 peratus berkaitan krisis fentanyl dan tarif 7.5 hingga 100 peratus ke atas barangan tertentu.

Kata Washington, tarif itu dikenakan kononnya bagi menangani amalan perdagangan yang tidak adil.

Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini mengumumkan tarif tambahan ke atas semua negara dua minggu lalu, sebelum beliau secara tiba-tiba menarik balik tarif timbal balas lebih tinggi untuk puluhan negara.

Untuk China, Trump mengekalkan tarif keras ke atas republik berkenaan sehingga mendorong Beijing bertindak balas dengan menaikkan tarif ke atas barangan AS.

China turut memfailkan aduan baharu kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dengan menyatakan kebimbangan serius mengenai tarif dikenakan AS, termasuk mendakwa Washington melanggar peraturan badan perdagangan global itu.

China minggu ini mengejutkan banyak pihak apabila melantik seorang perunding perdagangan baharu yang bakal memainkan peranan penting dalam sebarang rundingan untuk menyelesaikan perang tarif yang semakin memuncak

Ketua perdagangan China sebelum ini, Wang Shouwen, digantikan dengan Li Chenggang, utusan negara itu ke WTO.

Washington pula menyatakan bahawa Trump terbuka untuk mencapai perjanjian perdagangan dengan China, namun menegaskan Beijing perlu mengambil langkah pertama, sambil menekankan bahawa China memerlukan ‘wang kita’.

Lain pula tindakan Italy apabila Perdana Menterinya, Giorgia Meloni, menzahirkan keyakinan bahawa AS dan Eropah mampu berunding mengenai perjanjian perdagangan sebelum tempoh 90 hari penangguhan tarif tertentu berakhir.

Kesatuan Eropah (EU) yang terdiri daripada blok 27 negara tidak terkecuali dikenakan kenaikan tarif 25 peratus oleh AS, antaranya ke atas keluli, aluminium dan kereta.

Meloni, yang meletakkan dirinya sebagai perantara bagi AS dan Eropah, hadir di Pejabat Oval untuk mengadakan perbincangan dengan Trump bagi menyelesaikan isu itu.

Bagaimanapun, pemimpin wanita itu tidak boleh memastikan perjanjian bagi seluruh EU tetapi dengan perbincangan terbuka, ia dapat membantu menyelesaikan pertikaian perdagangan yang menegangkan hubungan AS-Eropah.
-REUTERS
-BeritaHarian