JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo semalam meminta ‘akses sama rata’ bagi negara membangun mendapatkan bekalan ubat-ubatan dalam merawat COVID-19 yang kini menjangkiti dunia lebih daripada 3.5 juta orang.
-Advertisement-
Katanya, negara membangun perlu memperjuangkan untuk mendapat akses yang adil.
“Kita perlu berjuang untuk mendapatkan akses yang adil dan tepat pada masanya supaya bekalan perubatan dan vaksin COVID-19 dapat diperoleh dengan harga mampu milik.
“Pelepasan hutang dan pembayaran hutang daripada pemiutang rasmi (untuk negara membangun) wajar dialihkan dan diberi tumpuan kepada pembiayaan pengendalian COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau menyertai Sidang Kemuncak Secara Dalam Talian Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Berhubung COVID-19 yang berlangsung menerusi persidangan video.
-Advertisement-
Sidang itu disertai 39 pemimpin negara NAM, iaitu sebahagian pergerakan negara berkecuali yang ditubuhkan pada 1961 dan menyatakan tidak berpihak mana-mana kuasa besar.
Sementara itu, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dalam sidang video tengah malam tadi berkata, negara-negara NAM akan membentuk pasukan khas bagi menyusun keperluan penting perubatan dan kemanusiaan kepada negara anggota, yang kemudiannya akan disalurkan kepada negara dan organisasi yang menyumbang dana.
COVID-19 meragut nyawa 864 penduduk Indonesia dan mengakibatkan 11,587 jangkitan.
Semalam, pemimpin dunia menjanjikan AS$8 bilion (RM34.52 billion) bagi memerangi wabak coronavirus itu, menurut pengumuman oleh ketua Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen.
– AGENSI