BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melumpuhkan cubaan dua lelaki menyeludup keluar 300 kilogram (kg) syabu bernilai RM10 juta menggunakan jalan laut, Jumaat lalu.
Kedua-dua lelaki dipercayai warga tempatan menggunakan bot gentian kaca dengan membawa 12 guni dadah untuk diseludup sebelum kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa pada kedudukan 0.8 batu nautika dari perairan Sungai Ayam, di sini, jam 1 pagi.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kapten Kama Azri Kamil, berkata sebelum itu pihaknya menerima maklumat hasil risikan berkenaan pergerakan sebuah bot asing dalam keadaan mencurigakan di perairan terbabit.
Katanya, susulan itu sebuah bot digerakkan ke lokasi bagi tujuan pemantauan dan juga pengesanan terhadap bot dinaiki suspek.
“Sebaik menyedari kehadiran bot kami, kedua-dua suspek memecut ke kawasan cetek dan meninggalkan bot sebelum melarikan diri ke dalam hutan paya bakau berhampiran.
“Hasil pemeriksaan dalam bot terbabit, kita menemui 12 guni mengandungi plastik berisi serbuk kristal dengan anggaran berat bagi setiap guni adalah 25kg.
“Kesemua dadah dan bot dirampas kemudian dibawa ke pangkalan APMM untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Maritim Zon Batu Pahat di sini, hari ini.
Kama Azri berkata, pihaknya percaya dadah ini cuba diseludup keluar untuk dihantar kepada sindiket sebelum dipasarkan di negara lain.
Katanya, berdasarkan laporan awal, sindiket terbabit menjadikan negara ini sebagai tempat pemprosesan dadah itu yang kemudiannya dihantar ke luar.
“Sekiranya dadah ini berjaya diseludup keluar, ia boleh digunakan hampir sejuta penagih. Ini adalah kejayaan terbesar Maritim Johor dalam tempoh lima tahun.
“Dadah itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
-BeritaHarian