Daging lembu, kambing tak cukup, lebih 90 peratus bekalan perlu diimport untuk Aidiladha

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Lebih 90 peratus bekalan daging lembu dan kambing perlu diimport dari negara luar bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan terutama menjelang Hari Raya Aidiladha.

Pengarah Urusan MYL Global Sdn Bhd, Muhammad Suhaimi Kamaruzaman, berkata keperluan mengimport bekalan daging lembu dan kambing bukan dilakukan ketika menjelang Aidiladha, malah sepanjang tahun.

Katanya, perkara itu terpaksa dilakukan kerana kebanyakan syarikat tempatan masih belum mampu menternak dan membekalkan daging lembu serta kambing dalam skala besar.

“Secara umumnya, Malaysia masih jauh ketinggalan dalam hal ini berbanding Thailand. Kalau tak import, tak boleh nak meniaga lembu dan kambing. Di pihak kami, sebanyak 80 peratus kambing diimport, manakala lembu pula sekitar 70 peratus.

“Masalah dihadapi penternak adalah risiko untuk menternak lembu dan kambing bermula dari anak hingga dewasa. Dalam tempoh dua tahun, pelbagai perkara boleh berlaku, jadi untuk elak risiko, mereka lebih memilih untuk menjual beli saja,” katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Malaysia masih jauh ketinggalan dalam pengeluaran daging tempatan dengan negara kini hanya mampu memenuhi 15 peratus daripada keperluan.

Katanya, disebabkan pengeluaran rendah, sebanyak 85 peratus daripada bekalan daging perlu diimport.

Sementara itu, pemilik Brothers Farm, Muhammad Salim Omar Noor, berkata dalam setahun beliau menerima tempahan sekitar 3,500 ekor kambing dan biri-biri.

Bagaimanapun, katanya, mereka hanya mampu menternak sekitar 400 ekor sahaja.

“Kami perlu sekitar 200 ekor kambing dan biri-biri sebulan. Namun, untuk musim haji, kita perlukan 1,000 ekor dan jika setahun ia jadi lebih kurang 3,500 ekor.

“Kebanyakan kambing dan biri-biri diimport dari Australia serta Thailand,” katanya.
-BeritaHarian