Disyaki seleweng LPG, KPDN tahan lelaki warga tempatan, 4 warga asing

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga tempatan dan empat warga asing ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti penyelewengan cecair gas petroleum (LPG).

-Advertisement-

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Hanizam Kechek, berkata pejabat KPDN cawangan Sepang menerima satu kes serahan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat semalam.

Beliau berkata, kes serahan ini membabitkan pemeriksaan pengesahan anggota Penguat Kuasa KPDN Sepang ke atas sebuah lori satu tan dan sebuah lagi lori tiga tan yang ditahan serta diletakkan dalam kawasan parkir Pejabat IPD Kuala Langat.
Katanya, semua kenderaan itu dibuat sitaan semula oleh KPDN Sepang membabitkan LPG dengan anggaran nilai rampasan RM100,000.

“Jumlah tong LPG yang disita 103 unit membabitkan jenis 14 kilogram dan 50 kilogram termasuk tong kosong,” katanya dalam kenyataan.

KPDN melancarkan Ops Gas Memasak (Ops GASAK) 2025 bermula 1 Mei lalu dalam usaha menangani isu ketirisan barang kawalan dan bersubsidi.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan operasi itu sejajar Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) susulan gas memasak menjadi antara elemen penting barangan bersubsidi kerajaan yang mencecah RM3 bilion setahun serta perlu dimanfaatkan rakyat.

-Advertisement-

Mohd Hanizam berkata, empat warga asing yang ditahan mempunyai dokumen perjalanan sah berada di negara ini.

Beliau berkata, tindakan sita semula dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 122 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jika sabit kesalahan, syarikat juga boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta, selain siasatan berpotensi diperluas mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613),” katanya.

Sejak 1 Mei hingga semalam, KPDN Selangor berjaya menghasilkan 15 kes di bawah kesalahan Peraturan 18(1) Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 mengikut Peraturan 21(1) PPKB 1974 dengan jumlah sitaan 5,008 kilogram LPG berjumlah RM112,492.

Sejak Januari hingga Selasa lalu, sebanyak 37 kes dihasilkan dengan nilai rampasan mencecah RM2.9 juta.
-BeritaHarian