KUALA LUMPUR: Fujifilm Malaysia memperkenalkan dua model kamera digital terbaru, GFX100S II dan X-T50 (X-T50).
-Advertisement-
GFX100S II ditawarkan pada harga RM26,888, manakala X-T50 berharga RM7,998.
GFX100S II menampilkan sensor format besar yang kira-kira 1.7 kali lebih besar daripada sensor penuh 35 milimeter (mm).
Syarikat itu berkata, pra-tempahannya boleh dibuat dari 16 Mei hingga 16 Jun dengan hadiah percuma bernilai RM5,235.
Kamera ini dilengkapi dengan sensor 102MP berkelajuan tinggi, pemproses imej terkini, dan badan kompak seberat kira-kira 883 gram, menjadikannya yang paling ringan dalam siri berkenaan.
Pengarah Urusan Fujifilm Malaysia, Kensuke Aragan, menjelaskan bahawa GFX100S II menawarkan ekspresi tona yang kaya, rendering tiga dimensi, dan pengesanan subjek berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Kelajuan tembakan berterusan juga ditingkatkan hingga 7.0 bingkai per saat, dengan kemampuan menangkap gambar subjek bergerak dengan tepat.
“Fungsi penstabilan imej dalam badan juga telah diperbaiki bagi mencapai tahap maksimum dalam siri ini. Kamera ini juga mampu merekod video 4K/30P untuk penghasilan video berkualiti tinggi,” kata Aragan semasa majlis pelancaran di Kuala Lumpur.
Beliau turut menambah bahawa struktur piksel yang ditingkatkan membolehkan penggunaan ISO80 sebagai kepekaan piawai, memberikan julat dinamik yang lebih besar berbanding model sebelumnya.
-Advertisement-
Kamera ini juga menawarkan 20 mod ‘film simulation’ yang membolehkan pengguna menikmati pelbagai ekspresi warna mengikut subjek atau pemandangan. Fungsi ‘Pixel Shift Multi-Shot’ juga disertakan untuk mengawal penstabilan imej dengan ketepatan tinggi.
Bagi model X-T50, ia akan dilancarkan pada pertengahan Jun 2024 dan boleh dipra-tempah dari 16 Mei hingga 16 Jun.
Kit X-T50 dengan lensa XC15-45mm berharga RM8,498, manakala kit dengan lensa XF16-50mm berharga RM9,998.
Pelanggan yang membuat pra-tempahan juga layak menerima hadiah percuma bernilai RM2,952.
Aragan menerangkan bahawa FUJIFILM X-T50 hadir dengan reka bentuk padat dan ringan, seberat kira-kira 438 gram, dilengkapi sensor ‘X-Trans CMOS 5 HR’ 40.2MP dan enjin pemprosesan imej berkelajuan tinggi ‘X-Processor 5’.
Kamera ini sesuai untuk pelbagai situasi penggambaran imej pegun, terutama apabila digabungkan dengan lensa zoom standard baru FUJINON XF16-50mm F2.8-4.8 R LM WR.
“Model serbaguna ini menawarkan kualiti imej tinggi dan mobiliti. Dail simulasi filem di bahagian atas kamera membolehkan pengguna menukar tona warna dengan mudah.
Kamera ini juga menggabungkan reka bentuk baharu yang memberikan prestasi pegangan yang tinggi serta saiz yang kompak,” tambah Aragan.
Selain itu, X-T50 juga menawarkan fungsi auto fokus (AF) pengesanan subjek semasa rakaman video, membolehkan rakaman video berkualiti tinggi dalam mod Auto yang mengesan adegan dan secara automatik memilih tetapan penggambaran yang optimal.
-BeritaHarian