KUALA LUMPUR: Perasaan gementar yang menghantui pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Leong Jun Hao dalam penampilan sulung di Seluruh England membuatkan dia gagal mempamerkan persembahan terbaiknya.
-Advertisement-
Pemain ranking ke-24 dunia itu terpaksa akur apabila tersingkir pada pusingan pertama selepas tewas di tangan juara bertahan dari Indonesia, Jonatan Christie 11-21, 19-21, dalam pertembungan di Utilita Arena Birmingham, semalam.
Kekalahan itu menyaksikan Jun Hao gagal mengulangi kejayaannya menumbangkan Jonatan ketika aksi separuh akhir Masters Kumamoto di Jepun, November tahun lalu.
Walaupun kecewa, Jun Hao menjadikan kekalahan itu sebagai pengajaran buat dirinya bagi meningkatkan prestasi dan permainannya.
-Advertisement-
“Saya tahu perlu bermain dengan baik dan memberi tekanan kepada Jonatan, tetapi sejak awal permainan, saya berasa gementar dan sukar mengawal beberapa pukulan.
“Pada set kedua, saya cuba meningkatkan tempo permainan dan mengawal emosi dengan lebih baik. Saya lebih sabar, dan itu membantu saya mengutip lebih banyak mata berbanding set pertama,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Selain Jun Hao, pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia turut ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Hong Kong, Ng Ka Long 21-19, 16-21, 12-21.
Dengan kekalahan kedua-dua pemain ini, Malaysia kini tidak mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki, menjadikannya antara pencapaian terburuk negara dalam acara itu di Seluruh England.
-BeritaHarian