Glomac, AFFIN sedia pembiayaan khusus pembeli rumah wanita

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Glomac Bhd (Glomac) menjalin perkongsian strategik dengan Kumpulan AFFIN di bawah program Affinita bagi menyokong pembeli rumah wanita melalui pembiayaan berstruktur serta akses bermaklumat kepada pemilikan rumah, dengan Loop Residences dijadikan pembangunan utama bagi kerjasama itu.

-Advertisement-

Kerjasama itu menghimpunkan tawaran kediaman Glomac dengan ekosistem kewangan berfokuskan wanita oleh Kumpulan AFFIN bagi mengukuhkan keyakinan pembeli serta menyediakan laluan pembelian yang berpandu kepada pembeli rumah kali pertama dan golongan profesional bekerja.

Di bawah perkongsian itu, Kumpulan AFFIN menawarkan AFFIN Home Step Fast/-i, iaitu penyelesaian pembiayaan patuh Syariah yang menyediakan kos permulaan lebih rendah serta pilihan pembayaran yang fleksibel.

Selain itu, Program Pembiayaan Rumah Affinita disediakan khusus untuk wanita, menawarkan pembiayaan melebihi RM500,000 melalui AFFIN INVIKTATM Premier Banking, berserta manfaat eksklusif daripada hampir 100 rakan niaga.

Semasa pelancaran, Glomac dan Kumpulan AFFIN mengadakan sesi libat urus yang memfokuskan kepada Loop Residences, menghimpunkan bakal pembeli wanita bagi membincangkan pilihan pembiayaan serta pertimbangan pembelian berkaitan pembangunan terbabit.

Sesi itu menekankan panduan kewangan praktikal dan sokongan berstruktur sebagai sebahagian daripada perjalanan pemilikan rumah.

Terletak di tengah-tengah Puchong, Loop Residences merupakan pembangunan pangsapuri servis bersepadu yang direka untuk gaya hidup bandar moden, menawarkan susun atur unit yang praktikal, kemudahan gaya hidup dan kesejahteraan yang menyeluruh, serta kesalinghubungan kukuh ke rangkaian pengangkutan utama dan perbandaran sekitarnya.

Pembangunan ini menampilkan keluasan binaan yang disesuaikan untuk pembeli kali pertama, profesional muda dan pelabur yang mencari titik kemasukan yang mudah ke dalam pemilikan rumah.

-Advertisement-

Dengan harga permulaan RM290,000, Loop Residences mengimbangi nilai untuk wang dengan kebolehdiaman dan nilai jangka panjang.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac ,Datuk Seri FD Iskandar, berkata kerjasama ini mencerminkan tumpuan berterusan Glomac dalam menyampaikan pembangunan yang relevan dan mampu dimiliki.

“Bekerjasama dengan institusi kewangan yang sehaluan seperti AFFIN BANK membolehkan Glomac menangani bukan sahaja cadangan nilai produk, malah pertimbangan yang lebih luas yang dihadapi pembeli ketika melangkah buat kali pertama ke arah pemilikan rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata perkongsian dengan Glomac menandakan satu langkah penting dalam misi AFFIN untuk memperluaskan akses kepada pembiayaan sambil memperkukuh literasi kewangan.

Beliau berkata, melalui Affinita bersama AFFIN Home Step Fast-i, AFFIN mentakrifkan semula pemilikan rumah dengan menyampaikan ‘Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan’ serta membina ekosistem menyeluruh dari hujung ke hujung yang melangkaui pembiayaan semata-mata.

“Dengan mengintegrasikan pendidikan, panduan diperibadikan dan penyelesaian kewangan tersuai, AFFIN menyokong pembeli wanita pada setiap peringkat perjalanan mereka, membolehkan pembuatan keputusan yang bermaklumat serta keyakinan jangka panjang.

“Melengkapkan pendekatan ini, penyelesaian pembiayaan rumah AFFIN membolehkan pelanggan membayar balik pinjaman sambil menikmati manfaat gaya hidup terpilih, tawaran eksklusif dan penjimatan bermakna dalam perbelanjaan harian,” katanya.

-BeritaHarian