Hadiah Istimewa Buat Penyokong Gergasi Merah – Faisal Halim

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kapten Selangor FC, Faisal Halim menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas kelab Vietnam, Cong An Hanoi FC dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) semalam sebagai hadiah istimewa buat seluruh penyokong Gergasi Merah.

-Advertisement-

Faisal muncul wira pasukan apabila menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sekali gus membantu Selangor melonjak ke puncak Kumpulan A.

Pemain berusia 28 tahun yang dikenali dengan gelaran Mickey itu bagaimanapun mengingatkan rakan sepasukan agar tidak terlalu selesa, memandangkan Selangor masih perlu menghadapi satu lagi perlawanan penting peringkat kumpulan menentang kelab Thailand, BG Pathum United di venue sama pada Rabu ini.

“Kemenangan ini adalah untuk pasukan, rakyat Selangor dan semua penyokong bola sepak Selangor. Saya hanya memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Sama ada saya menjaringkan gol atau tidak, perkara paling penting adalah kemenangan pasukan. Ini adalah hadiah buat penyokong kami dan perlawanan ini juga sangat menentukan buat kami.

“Tiga mata ini amat penting dan saya harap semua pemain kekal fokus kerana kami masih ada satu lagi perlawanan penting untuk menentukan kelayakan ke separuh akhir,” katanya, yang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

-Advertisement-

Walaupun kini mendahului Kumpulan A dengan lapan mata, Selangor hanya dibezakan satu mata dengan BG Pathum United di tempat kedua, selain dua mata di hadapan Buriram United dan Tampines Rovers yang masing-masing berada di tangga ketiga dan keempat.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon mengakui kemenangan ke atas Cong An Hanoi amat signifikan dan menjadi suntikan semangat menjelang perlawanan terakhir menentang BG Pathum United.

“Kemenangan ini sangat penting buat kami,” kata Pan Gon, yang mencatat kemenangan kelima berturut-turut bersama Selangor sejak mengambil alih pasukan pada awal bulan ini.

“Matlamat kami adalah untuk mara ke separuh akhir dan keputusan ini meletakkan kami dalam situasi positif serta memberi motivasi tambahan untuk menghadapi perlawanan seterusnya.”

-berita harian