Hakim Danish Bergelut Pada Hari Pertama GP Thailand

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR — Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, masih mencari rentak pada hari pertama Grand Prix (GP) Thailand yang berlangsung di Chang International Circuit, hari ini.

Pelumba berusia 18 tahun yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mencatat masa sepusingan terbaik 1 minit 42.584 saat pada sesi latihan bebas pertama (FP1) sebelah pagi, sekali gus menamatkan sesi di kedudukan ke-17 daripada keseluruhan 26 pelumba.

Pada sesi latihan petang, beliau memperbaiki catatan kepada 1:42.084 saat. Namun peningkatan tersebut masih belum memadai untuk melonjakkan kedudukan apabila sekadar berada di tangga ke-22 keseluruhan.

Sesi latihan dikuasai pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa, yang mencatat masa terpantas 1:40.990 saat.

Tempat kedua terpantas menjadi milik Alvaro Carpe dari pasukan Red Bull KTM Ajo dengan catatan 1:41.068 saat, manakala pelumba Red Bull KTM Tech3, Valentin Perrone, melengkapkan kelompok tiga terpantas selepas merekodkan 1:41.194 saat.

Aksi di Thailand ini menandakan perlumbaan pertama Hakim Danish bagi musim penuh sulungnya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia.

-Advertisement-

Musim lalu, beliau mencuri perhatian apabila diberi peluang beraksi dalam tiga pusingan termasuk Grand Prix Malaysia menerusi tiket wildcard. Hakim turut menggantikan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka, di GP Portugal dan GP Valencia yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Di Sepang International Circuit, beliau gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh. Bagaimanapun, Hakim bangkit meraih mata berharga di Eropah apabila menamatkan saingan di tangga ke-12 di Portugal dan ke-14 di Valencia.

Perjalanan musim penuh pertamanya kini bermula dengan cabaran getir di Thailand.

-BeritaHarian