Hartanah Kenyalang sasar perluas khidmat reka bentuk, binaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Hartanah Kenyalang Bhd merancang memperluaskan perkhidmatan reka bentuk dan binaannya bagi pembinaan bangunan serta segmen pembinaan infrastruktur melalui pelaburan dalam sistem Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).

-Advertisement-

Pengarah Urusannya, Seah Boon Tiat, berkata pelaburan itu dijangka memperkukuh daya saing syarikat dalam industri pembinaan, khususnya di Sarawak.

“Kami melihat penggunaan pendekatan reka bentuk dan binaan yang menggabungkan BIM mampu meningkatkan nilai dalam rantaian kerja industri pembinaan serta mempertingkatkan kecekapan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syarikat berpangkalan di Kuching itu memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pagi ini dan mengakhiri sesi pagi pada 15.5 sen sesaham, sedikit rendah berbanding harga pembukaan 16 sen, dengan 166.72 juta saham diniagakan.

Seah berkata, pihaknya turut memperuntukkan kira-kira RM3 juta daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) untuk pembelian enam ekskavator baharu bagi menambah kapasiti dan produktiviti.

Secara keseluruhan, Hartanah Kenyalang berjaya mengumpul RM19.3 juta menerusi penyenaraian itu.

-Advertisement-

Daripada jumlah itu, sebanyak RM10.5 juta diperuntukkan bagi modal kerja projek, RM3.8 juta bagi membiayai perbelanjaan penyenaraian dan RM2.1 juta lagi bagi pembayaran balik pinjaman bank.

Beliau berkata, kumpulan itu sudah mengemukakan tender untuk pelbagai projek pembinaan bangunan dan infrastruktur di Sarawak, membabitkan nilai kontrak terkumpul berjumlah RM451 juta setakat 30 April 2025.

“Antara projek yang ditender termasuk pembinaan jambatan menggunakan kaedah reka bentuk dan binaan, sejajar dengan kepakaran kami dalam pendekatan itu,” katanya.

Seah berkata, kumpulan juga kini giat membida projek pembinaan pencawang di beberapa lokasi di Sarawak, selari dengan pembangunan pesat sektor tenaga boleh baharu di negeri itu.

Hartanah Kenyalang yang berpengalaman lebih 11 tahun dalam industri pembinaan, kini menyasarkan untuk terus mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama di Sarawak melalui pelaksanaan teknologi dan kepelbagaian projek.
-BERNAMA
-BeritaHarian