IPOH, 27 Feb — Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Selatan) di KM225 Lebuhraya Utara-Selatan akan ditutup sepenuhnya bermula 1 Mac ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf fasiliti.
Menurut kenyataan PLUS Malaysia Berhad hari ini, projek berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira 20 bulan dan dijadualkan siap pada suku pertama tahun 2028.
Kerja naik taraf tersebut akan mengadaptasi reka bentuk bangunan yang lebih moden dan segar, lengkap dengan ciri-ciri hijau, bagi meningkatkan tahap keselesaan pengguna lebuh raya.
Sepanjang tempoh pelaksanaan projek, semua gerai makanan dan minuman, jualan buah-buahan serta kemudahan awam sedia ada termasuk kawasan parkir, surau dan tandas akan ditutup.
Bagaimanapun, PLUS memaklumkan kemudahan sementara seperti tandas dan surau akan disediakan untuk kegunaan pengguna. Selain itu, stesen minyak Caltex dan Petron di lokasi berkenaan akan terus beroperasi seperti biasa.
Laluan Alternatif Disaran
-Advertisement-
Pengguna lebuh raya yang menuju ke selatan disarankan menggunakan kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol (Arah Selatan), Hentian Sebelah Taiping (Arah Selatan), R&R Sungai Perak (Arah Selatan) atau mana-mana hentian berdekatan bagi tujuan rehat dan keperluan lain.
Selain itu, pengguna juga boleh memanfaatkan kemudahan surau dan tandas di plaza tol berhampiran serta digalakkan merancang perjalanan sepanjang tempoh penutupan tersebut.
PLUS turut menasihatkan pengguna supaya mematuhi papan tanda trafik dan arahan petugas ketika melalui kawasan terlibat.
Maklumat trafik terkini boleh diperoleh melalui aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, aplikasi X @plustrafik, Paparan Mesej Elektronik (VMS), atau dengan menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya berlaku kecemasan.
-BERNAMA
-BeritaHarian