KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, optimis anak buahnya, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, mempunyai peluang cerah untuk menamatkan penantian merangkul gelaran sulung dalam Jelajah Dunia BWF di Terbuka Jerman yang bermula esok.
-Advertisement-
Herry yang diberi julukan Herry Ip menyifatkan pasangan ranking ke-19 dunia itu memiliki potensi besar dan persiapan yang mantap bagi menghadapi kejohanan berstatus Super 300 berkenaan.
“Saya banyak berharap Arif-Roy King sekurang-kurangnya dapat mara ke separuh akhir atau final.
“Dari segi persiapan, mereka cukup baik dan saya lihat ada peluang yang sangat besar untuk mereka menang. Cuma nanti kita perlu lihat prestasi mereka di sana,” katanya.
Pasangan muda negara itu hampir merekodkan gelaran pertama dalam saingan Jelajah Dunia BWF tahun lalu tetapi tewas dalam aksi final Masters Sepanyol di tangan gandingan Indonesia, Sabar Karyaman-Reza Pahlevi.
Musim ini, pencapaian terbaik mereka adalah mara ke suku akhir Masters Indonesia, bulan lalu.
-Advertisement-
Sebelum itu, mereka tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan pusingan kedua Terbuka India.
Di Terbuka Jerman, Wan Arif-Roy King yang diletakkan sebagai pilihan ketiga akan membuka tirai saingan menentang gandingan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer di pusingan pertama.
Bagaimanapun, ujian getir dijangka menanti mereka di suku akhir, di mana mereka berkemungkinan berdepan pilihan ketujuh yang juga juara Terbuka Malaysia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Sementara itu, mengulas mengenai satu lagi pasangan muda negara yang turut beraksi di Terbuka Jerman kali ini, Kang Khai Xing-Aaron Tai, Herry tidak meletakkan sebarang harapan tinggi memandangkan gandingan itu masih muda dan baharu dalam kejohanan bertaraf Super 300.
Khai Xing-Aaron akan memulakan saingan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith di pusingan pertama.
-BeritaHarian